
PERNAHKAH anda tertanya-tanya jika makan makanan pedas berisiko menjadi penyebab maut?
Kewujudan pelbagai jenis trend atau cabaran seperti menghabiskan mi segera dengan tahap kepedasan melampau, demi meraih perhatian umum membuktikan rakyat Malaysia memang menggemari hidangan pedas menyengat.
Namun, adakah terdapat bahaya sebenar yang dikaitkan dengan semua kepedasan itu? Adakah kematian akibat makanan pedas satu kemungkinan yang nyata?
BACA LAGI: Waspada jika gemar makanan pedas, ini 4 risikonya
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Menurut seorang pakar bedah khusus dalam pembedahan penurunan berat badan dan pembedahan sistem penghadaman, Dr Melvin Look berkata, reseptor yang akan merangsang rasa sakit dan pedih, dikenali sebagai Transient Receptor Potential Vanilloid type 1 (TRPV1), bertindak balas terhadap kepanasan dan keasidan dalam makanan pedas sebagai langkah perlindungan untuk mencegah bahaya.
Justeru, risiko kematian akibat kepedasan tidak mungkin berlaku.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai berat 68 kilogram (kg) perlu memakan kira-kira 1.36kg ghost pepper, iaitu salah satu jenis cili paling pedas di dunia untuk mencapai tahap bahaya.
Meskipun makan terlalu banyak makanan pedas tidak akan membawa kematian, perbuatan itu masih boleh menjadi penyebab kepada masalah yang lain.
Ghost pepper merupakan salah satu jenis cili paling pedas di dunia.
Dr Melvin menjelaskan, pengambilan capsaicin (kompaun kimia aktif dalam makanan pedas) yang berlebihan boleh membawa kepada masalah seperti pedih ulu hati, sakit dada dan sakit perut.
Jika anda sudah mempunyai masalah pencernaan, seperti refluks asid atau sindrom sistem penghadaman rengsa atau irritable bowel (IBS), memakan makanan pedas boleh memburukkan lagi keadaan ini, hingga berpotensi menyebabkan refluks atau cirit-birit.
Secara umumnya, adalah dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan lada pedas kepada tidak lebih daripada 1 per 50 berat badan anda.
Dr Shim menambah bahawa keseronokan yang dirasai oleh ramai orang ketika makan makanan pedas datang daripada endorfin yang dilepaskan sebagai tindak balas terhadap kesakitan.
Endorfin dan dopamin ialah hormon yang membuatkan kita lebih ceria. Endorfin membantu mengawal tekanan dan mengurangkan rasa sakit.
Aktiviti endorfin turut meningkatkan penghasilan dopamin, seterusnya memberi rasa gembira.
Ini menjelaskan mengapa sesetengah orang begitu ketagih dengan makanan pedas!
Capsaicin, sebatian yang menyumbang kepada rasa pedas sebenarnya tidak membuatkan anda 'terbakar' kepedasan, sebaliknya ia akan memperdayakan otak anda untuk merasakan perubahan suhu.
Jadi, walaupun makanan pedas boleh menjadi mengujakan dan menyeronokkan, sebaiknya ambillah secara tahap sederhana. — The Star/HEE MAY YEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram