Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'


  • 112
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Leo langsung tidak menyangka hobi mencipta lagu pada waktu lapang akan mengangkat namanya sebagai seorang anak seni pada ketika ini.

NAMANYA mungkin tidak segah penyanyi popular Iban yang lain, namun bagi Leo Linekar Anak James Roselly itu bukan penghalang bagi dirinya untuk terus berkarya.

Terbaharu, anak jati kelahiran Sri Aman, Sarawak ini berjaya membuktikan dia juga mampu bersaing bersama penyanyi-penyanyi yang lain di negeri Bumi Kenyalang itu selepas diumumkan sebagai salah seorang peserta semifinal Anugerah Carta Juara (ACSJ) melalui lagu Ke Pengujung Seput (Hingga ke hujung nyawa).

Malah, bagi bapa kepada dua orang anak itu, dia langsung tidak menyangka hobi mencipta lirik lagu pada waktu lapang akan mengangkat namanya sebagai seorang anak seni pada ketika ini.

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu ambulans jadi 'hero tak didendang', tunggang motor selamatkan ribuan nyawa di Pulau Pinang

WhatsApp Image 2024-09-12 at 01.06.28 (1)

Leo (kanan) bersama isterinya pada malam Anugerah Carta Juara (ACSJ) baru-baru ini.

Tambahan pula, dia yang berkerjaya sebagai seorang anggota penyelamat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu fokus dalam tugasan hariannya membantu masyarakat.

"Sejujurnya saya sendiri tidak pernah menyangka akan dinobatkan sebagai salah seorang finalis. Mungkin bagi mereka di luar sana, ini hanya pencapaian kecil tetapi tidak bagi saya.

"Sebenarnya kebanyakan lirik lagu yang saya buat untuk saya atau orang lain adalah berkisarkan kehidupan harian saya dan ketika saya bertugas.

"Sebagai bomba, kami diajar untuk menjadi fokus dan sharp (teliti). Setiap tugas atau operasi ada kisahnya yang tersendiri," katanya kepada Majoriti.

Tugas hariannya yang memerlukan dia sentiasa bersiap siaga untuk operasi menyelamatkan dan memadamkan kebakaran menunjukkan bahawa Leo bukan sahaja seorang artis berbakat, tetapi juga seorang wira yang berdedikasi.

Bercerita lanjut, lelaki itu berkata, dia mula berkhidmat sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wilayah Persekutuan sebelum berpindah ke Kuching.

"Antara tugas pertama saya ialah memadam kebakaran dan tugasan khidmat khas seperti menyelamatkan mangsa kemalangan.

"Jika ditanya antara tugasan yang paling mencabar ialah sewaktu melakukan penugasan kecemasan harian ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Sejujurnya ia waktu yang sukar, bukan saya sahaja tetapi semua petugas keselamatan yang lain kerana risikonya yang terlalu tinggi.

"Syukur, walaupun saya pernah terkena jangkitan Covid-19 beberapa kali tetapi saya masih sihat dan mampu bertugas membantu orang lain sehingga hari ini. Anak Iban...Agi idup,agi ngelaban (Berjuang selagi nafas masih ada)," katanya ketawa kecil.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 01.06.28

Leo dalam operasi mencari seorang warga emas lelaki di kawasan hutan berhampiran Kampung Mayang Mawang, Serian.

Tambah Leo lagi, pada 2021 dia juga pernah terlibat dalam operasi mencari seorang warga emas lelaki di kawasan hutan berhampiran Kampung Mayang Mawang, Serian.

"Ia bukan tugas yang mudah kerana kawasan itu besar dan kami perlu cepat. Dalam operasi seperti ini tidak boleh berlaku kesilapan kerana kita melibatkan nyawa.

"Tambahan pula ketika itu masih Covid-19, jadi kita perlu lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling.

"Syukur dengan bantuan anjing pengesan Wilderness bernama Daisy kami berjaya menemui warga emas tersebut dalam keadaan lemah.

"Saya dan seorang lagi rakan pasukan mengendong mangsa keluar ke tempat yang selamat," ujarnya.

Leo turut menitip pesanan kepada golongan muda yang mahu menceburi kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat perlu mempunyai mental dan fizikal yang kuat selain tidak mudah putus asa.

"Kerjaya ini bukan mudah dan kita perlu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab.

"Tidak kira apa bencana atau bantuan yang diperlukan. Kita perlu lakukan yang terbaik untuk membantu tak kira nyawa dan harta benda," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram