Pandu kereta mabuk, Justin Timberlake didenda RM2,000, kena gantung lesen 90 hari


  • Relaks
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Justin Timberlake mengaku salah atas pertuduhan memandu kereta secara mabuk pada Jumaat.

PENYANYI pop terkenal, Justin Timberlake dijatuhi hukuman denda AS$500 (RM2,000) dan penggantungan lesen memandu selama 90 hari selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk pada Jumaat.

Hakim Sag Harbor Village, Carl Irace menjatuhkan hukuman itu termasuk arahan khidmat masyarakat selama tempoh 25 jam kepada penyanyi terkenal dengan lagu Selfish itu.

Hukuman tersebut dipersetujui bersama oleh pasukan pembelaan Timberlake dan Pejabat Peguam Daerah Suffolk County, New York, Amerika Syarikat (AS).

BACA LAGI: [VIDEO] Maaf fans Nadeera, guru vokal pilih suara Aina Abdul lebih sihat dan 'healthy singing'

BACA LAGI: Baru berjinak karaoke, Angelina Jolie kesepian hampir setengah abad hidup tanpa ‘kawan makan kawan’

Timberlake dibenarkan melaksanakan khidmat masyarakat melalui mana-mana organisasi bukan keuntungan pilihannya dan perlu diselesaikan dalam masa setahun.

“Saya berada dalam situasi di mana saya boleh membuat keputusan yang lebih baik, namun saya telah mengambil masa untuk merenung perkara itu.

"Apa yang saya ingin katakan kepada semua yang sedang menonton dan mendengar, walaupun anda hanya minum satu gelas, jangan memandu.

"Ada banyak alternatif lain seperti panggil kawan, guna Uber, aplikasi perjalanan, ambil teksi. Ini adalah kesilapan yang saya buat," ujarnya dalam satu sidang media.

Peguam Daerah, Suffolk County, Raymond Tierney memuji Timberlake kerana memikul tanggungjawab dan menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya memandu dalam keadaan mabuk.

"Memandu dalam keadaan mabuk dan menggunakan dadah adalah isu keselamatan awam yang sangat serius di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pada Jun lalu, Timberlake ditahan di Sag Harbor lewat malam, dengan memandu kenderaan dan gagal mematuhi papan tanda lalu lintas serta laluan lorong.

Dia juga dilaporkan gagal dalam ujian kimia bagi mengesahkan dakwaan mabuk ketika memandu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram