SATU perlawanan bola sepak amal telah dilangsungkan dengan menghimpunkan pemimpin masyarakat Islam dan ulama dari seluruh United Kingdom (UK) pada Ogos lalu.
Imam dari seluruh negara termasuk bandar-bandar dari London, Blackburn, Bradford, dan Batley mengambil bahagian dalam Piala Minarets yang buat julung kali diadakan itu.
Kejohanan itu diadakan bertujuan bagi mengumpul derma dan bantuan buat penduduk di bumi Palestin menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Muslim Aid.
BACA LAGI: Demi negeri tercinta, 3 legenda ini pernah tolak tawaran lumayan
BACA LAGI: Trent tiru gaya keraian legenda Liverpool, namun sayang gol kena batal pula
Namun, kehadiran pemain-pemain yang terdiri daripada imam masjid itu mencuri perhatian warganet yang nyata kagum dengan aksi serta bakat dimiliki mereka.
Tular di laman sosial pada Jumaat apabila gol dijaringkan seorang imam, Munir Amour Nassor dari Masjid Al Noor di London, yang dikatakan mirip gaya legenda Manchester United iaitu Luís Carlos Almeida da Cunha ComM atau Nani.
Gayanya meraikan gol hebat itu persis pemain tersohor kelab Inggeris itu yang sebelum ini sering membuat gerak akrobatik balik kuang (somersault) setiap kali menggegar jaring lawan.
Meraih pujian di laman aplikasi X, rata-ratanya memuji semangat kesukanan serta aktiviti amal tersebut yang disifatkan sangat prihatin terhadap kemelut kemanusiaan yang melanda Gaza.
Kejohanan itu berjaya menarik lebih 200 orang penonton yang hadir menyaksikan kemenangan pasukan Imams All-Stars ke atas Imams United dengan kemenangan 8-3 di sebuah padang bola sepak dekat UK.
Sebanyak £16,000 (RM90,334) sumbangan derma berjaya diraih menerusi kejohanan amal itu yang dikhususkan khas buat penduduk Palestin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram