DALAM setandan pisang, ada juga yang busuk.
Peribahasa itu sesuai digambarkan menerusi filem Batman & Robin (1997) yang dianggap sebagai naskhah terburuk sepanjang siri filem itu diterbitkan.
Rata-rata peminat sebulat suara bersetuju bahawa siri arahan Joel Schumacher itu serba kekurangan daripada pelbagai sudut yang dikatakan jauh berbeza dengan siri-siri lain.
BACA LAGI: Wolverine berjubah, Captain Marvel berhijab, tular komik Marvel papar adegan majlis tahlil
Meskipun francais filem Batman amat dikenali dalam kalangan peminat filem adiwira, ia nyata gagal mencapai kehendak penonton yang melabel ia sebagai 'pisang rosak'.
Beberapa faktor menyumbang kepada persepsi buruk itu dan ia masih hangat diperkatakan sehingga ke hari ini biarpun filem berkenaan sudah bertahun lamanya.
1. Lakonan George Clooney sebagai Batman dilabel kayu
George Clooney yang memegang watak sebagai Batman dalam siri tersebut gagal mempamerkan identiti sebagai seorang pewira apabila setiap lakonannya terlampau mudah dijangka.
Tidak melambangkan konsep filem adiwira, Batman versi George kekurangan dari segi elemen kejutan dan misteri yang sepatutnya menjadi kekuatan karakter itu.
Malah, kekuatannya juga dipertikaikan apabila terpaksa membentuk gandingan trio bersama Batgirl dan Robin sekali gus mendedahkan kelemahannya yang seperti pincang dari segenap sudut.
2. Plot filem terlampau ringan
Keseluruhan plot filem itu kelihatan seperti filem jenaka ataupun parodi susulan terlampau banyak dialog lucu dan sambil lewa disajikan.
Batman yang sepatutnya berunsurkan kegelapan nampak lemah dari sudut jalan penceritaannya yang lebih banyak tertumpu kepada adegan lucu.
Lebih memalukan, watak jahat lakonan Arnold Schwarzenegger sebagai Dr. Freeze, disifatkan terlampau lemah kerana ditewaskan dengan eleman percintaan.
3. Reka bentuk kostum buruk
Reka bentuk kostum ketiga-tiga adiwira dalam siri Batman & Robin (1997) gagal mencapai piawaian penonton yang menjangkakan ia sepatutnya berkonsepkan 'hidden' dan sukar dikesan musuh.
Meskipun masih mengekalkan tema warna hitam, namun corak kelabu di bahagian lengan dan badan adiwira itu jelas mencacatkan imej Batman di mata penonton.
Tumpuan penonton juga sedikit terjejas dengan kostum yang dikatakan terlampau ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan serta bahagian tidak sepatutnya.
Maka, dengan ketiga-tiga faktor tersebut jelas membuktikan betapa siri Batman & Robin (1997) wajar dilabel sebagai filem terburuk dimiliki Batman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram