Baggio Damasutra tak kisah 'jual diri', enggan dimalukan BBNU


  • Hiburan
  • Rabu, 11 Sep 2024

Baggio masih aktif di laman sosial untuk kekal relevan dalam industri seni tanah air.

LAMBAKAN artis Budak Baru Nak Up ataupun BBNU kini semakin mewarnai industri seni tanah air seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang amat mementingkan platform media sosial.

Kehadiran pendatang baharu itu secara tidak langsung membuatkan artis lama semakin sukar untuk 'cari makan' ekoran pasaran industri kini dikatakan lebih mementingkan jumlah pengikut dan populariti berbanding bakat.

Namun, bagi penyanyi veteran Baggio, 53, dari kumpulan Damasutra, dia menganggap ia sebagai satu platform terbaik buat artis terdahulu turut sama aktif di media sosial untuk kekal relevan dalam industri.

BACA LAGI: 'Mungkin penerbit sekarang tak kenal saya', Baggio masih berharap ditawarkan watak sesuai

BACA LAGI: 'Kita kan dalam hujan', masih ingat Kamala Senario Lagi? Tak sangka dah jadi 'pesilat' lepas lama menyepi

Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 52, berkata, kemunculan artis baharu khususnya pempengaruh yang diserap masuk ke dalam dunia lakonan bukan satu perkara pelik kerana zaman sudah berubah.

"Sekarang berbeza berbanding zaman saya dahulu, kalau nak jadi penyanyi kena buktikan kita ni bagus baru boleh yakinkan syarikat rakaman untuk ambil kita.

"Tapi kini semuanya bergantung pada kuasa viral dan media sosial, maknanya peluang itu lebih terbuka dan mudah untuk diceburi sesiapa sahaja, jadi saya pun setakat ini cuba aktif di platform sosial selain meneruskan karier nyanyian.

"Saya aktif di TikTok dan juga Instagram, sasaran saya untuk kumpulkan kembali peminat dulu dan yang baru nak kenal, kita bagi ruang supaya mereka berpeluang untuk dekat dengan kita," katanya kepada Majoriti.

6267266783299877808

Kumpulan Damasutra terkenal dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi sekitar era 1990-an.

Dalam pada itu, Baggio turut menjelaskan bahawa dirinya ingin terus bersaing dengan artis BBNU untuk kekal relevan dalam dunia hiburan.

Masih aktif dalam bidang nyanyian, Baggio kini kerap menerima jemputan persembahan secara tertutup yang menurutnya lebih eksklusif walaupun tidak diketahui ramai.

"Karier nyanyian masih berjalan seperti biasa cumanya saya tak muncul di kaca televisyen, tetapi di laman sosial saya masih hasilkan lagu baharu.

"Kali terakhir saya keluarkan single adalah pada 2023, sebuah lagu yang dibuat khas buat ibu di luar sana berjudul Kau Ibu.

"Saya juga aktif bersiaran langsung di laman TikTok dan setakat ini dah mencecah 30,000 jumlah pengikut," ujarnya.

Lagu terbaharu nyanyian Baggio ditujukan khas buat insan bergelar ibu.

Tegas menolak dakwaan warganet yang menganggap dirinya sanggup 'menjual diri' di laman sosial, Baggio menjelaskan pengisian dan video dimuat naik semuanya berlandaskan kepentingan kariernya sahaja.

"Saya lebih ke arah untuk menjual diri sebagai selebriti dalam lakonan dan nyanyian, ini peluang yang sangat besar dan tak wujud di zaman saya.

"Sekarang dunia tanpa sempadan dan kuasa viral sangat hebat.

"Kalau nak kira pada jumlah pengikut, ia sangat subjektif kerana lebih kepada persepsi dan penilaian luar, jadi kita kena gunakan ia ke arah kebaikan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram