SIRI Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire membawa misi istimewa apabila mencari pelapis bagi memperkasa industri hiburan tempatan di lokasi pertamanya dekat pusat beli-belah Mydin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lalu.
Menerusi aktiviti KiraOke Suria yang dijalankan pada setiap lokasi kecuali di Kelantan, ia membuka peluang bukan saja untuk mencari penyanyi, malah bakat lain termasuk penyampai dan pempengaruh.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid berkata, penyertaan yang diterima juga sangat menggalakkan termasuk mereka yang sanggup hadir dari jauh.
BACA LAGI: Suria FM kongsi rezeki, tawar RM36,000 untuk pendengar setia
BACA LAGI: Suria FM tawar sebahagian RM30,000 kepada pendengar menerusi peraduan 'Selit Duit Suria'

Barisan penyampai Suria yang hadir memeriahkan Siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
"Di Pulau Pinang saja kami menerima lebih 30 penyertaan awal sebelum disenarai pendek sehingga lima yang bersaing pada peringkat akhir yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM16,500 bagi tiga pemenang utama setiap lokasi.
"Kami juga terharu kerana ada peserta di Bukit Mertajam yang datang jauh dari Putrajaya dan Subang, Selangor untuk mencuba nasib.
"Lebih dari itu bakat yang kami cari juga bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga mereka yang ada personaliti dan bakat lain menerusi suara termasuk penyampai radio dan pempengaruh," katanya.
Lebih mesra dikenali sebagai DJ Lin, beliau berkata, orang ramai boleh mencuba nasib dan mempamerkan bakat masing-masing di tiga lokasi lain iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Aktiviti KiraOke Suria mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.
Dalam pada itu, Yaya Empire selaku penaja utama turut membawa misi mahu memartabatkan penyanyi dikir yang sememangnya terkenal di Kelantan.
Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berkata, pihaknya membawa penyanyi dikir di setiap lokasi dalam usaha memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar Suria FM.
"Kami mahu lebih ramai membuka mata dan menghargai bakat seni penyanyi dikir yang sangat terkenal di Kelantan dan turut popular di media sosial seperti TikTok.
"Kami sendiri di Yaya Empire memang sudah lama berkerjasama erat dan menyokong penyanyi dikir ini kerana keunikan mereka.
"Pada saya irama yang dibawa penyanyi ini juga boleh mendunia dan diterima termasuk beberapa lagu popular seperti Bey Soba Bey yang turut viral di peringkat antarabangsa," katanya.
Pada Siri jelajah di Mydin Mall Bukit Mertajam, lebih 8,000 pengunjung yang hadir dihiburkan oleh barisan artis popular seperti Zamani, Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Ara Johari dan Kristal X dalam konsert yang berlangsung pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
