MENGALAMI kecederaan patah tangan, jaguh Muay Thai negara Muhamad Johan Ghazali Zulfikar nyaris tarik diri sebelum pertarungan menentang Josue Cruz dalam aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu.
Perkara itu didedahkan Johan atau lebih mesra dipanggil Jojo menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya pada Isnin.
Jelasnya, dia berdepan kecederaan itu enam minggu sebelum perlawanan yang menyaksikan jaguh negara itu berjaya menumbangkan lawannya secara knockout (KO) dalam pusingan pertama.
BACA LAGI: Jojo Ghazali, pasukan sepak takraw dipilih terima Anugerah Khas SAM-100Plus 2023
"Inilah tangan Jojo yang patah sebelum lawan lagi dah patah. Jojo hampir tarik diri dan ramai tak tahu.
"Tetapi, Alhamdulillah ALLAH bagi semangat," katanya.
Pada aksi flyweight muay thai itu, bintang muda berusia 17 tahun tersebut tampil agresif dan berjaya menjatuhkan lawannya menerusi tumbukan tangan kiri yang tepat menghinggap ke kepala Cruz.
Pada masa sama, tular video atlet muda itu melaungkan "Malaysia Boleh, Alhamdulillah" selepas berjaya menumbangkan Cruz.
Melalui kemenangan itu juga, Jojo berjaya menebus kekecewaannya yang tewas kepada Tran Duy Nhat Nguyen di ONE 168 sebelum ini yang menjadi kekalahan pertama dalam karier profesionalnya sekali gus meraih bonus bernilai AS$50,000 (RM216,699) pada perlawanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram