KERJAYA lakonan penyanyi popular era 1990-an, Baggio tidak terhenti meskipun kemunculannya di kaca televisyen semakin berkurangan.
Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 52, berkata, dia banyak menerima tawaran berlakon di bawah rumah produksi milik rakan artis yang sudah lama dikenali.
Pun begitu, penyanyi lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu mengharapkan agar dia mendapat tawaran skrip dengan jalan penceritaan yang menarik.
"Saya tidak kata berhenti berlakon, tetapi hanya kurang mendapat tawaran saja. Mungkin rumah produksi sekarang tidak kenal dan tidak tahu bagaimana hendak menghubungi saya.
"Saya mengharapkan agar dapat skrip dengan cerita yang bagus dan watak bersesuaian. Bukan saja soal penceritaan naskhah, tetapi saya juga mengharapkan agar isu pembayaran pelakon lama ini perlu diberi perhatian," ujarnya kepada Majoriti.
Baggio terbuka untuk menerima tawaran berlakon asalkan kena dengan bayaran dan watak yang bersesuaian.
Baggio yang juga ahli kumpulan Damasutra berkata demikian kerana dia masih berdepan dengan tawaran harga lakonan dianggap tidak munasabah dengan kualiti kerja terutama melibatkan pelakon senior dan veteran selain dianggap terlalu rendah.
Jelasnya, perkara tersebut mungkin tidak menemui titik kesudahan sekiranya tiada pihak menetapkan 'tangga gaji' terhadap pelakon.
"Sepatutnya kita ada menetapkan 'harga syiling' supaya pelakon lama ini tidak dilihat seperti pelakon tambahan sedangkan mereka memberikan komitmen kerja, tenaga dan masa yang sama seperti pelakon utama.
"Dahulu masa saya berlakon ketika waktu sebelum kegawatan ekonomi, bayaran yang diterima agak baik dan penggiat seni mampu menjana pendapatan.
"Saya mengharapkan bayaran pelakon bersesuaian dengan bayaran yang diterima daripada pihak stesen televisyen kerana harga mereka tawarkan buat pelakon lama ini macam mereka tidak boleh buat apa," ujarnya yang mengatakan perkara itu menjadi antara salah satu punca dia tidak aktif lagi berlakon.
Konsert Damasutra
Damasutra antara kumpulan rock popular sekitar 1990-an yang dianggotai oleh Baggio, Amran, Assu dan Allahyarham Alok.
Selain kerjaya lakonan, Baggio turut merancang untuk mengadakan persembahan bersama kumpulannya, Damasutra.
Pelakon drama Cinta Korporat itu memberitahu, konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 16 September depan di Zapp Kuala Lumpur.
"Acara dijangka berlangsung selama 1 jam 45 minit dan kami cuba mengumpulkan seberapa banyak lagu evergreen Damasutra untuk dinyanyikan.
"Konsert itu akan menjadi sesuatu yang bermakna buat peminat kerana kami ingin meraikan ulang tahun ke-33 Damasutra.
"Akan ada artis jemputan dalam acara itu nanti. Namun kami masih belum menetapkan siapa. Apa yang penting sasaran kami agar konsert itu nanti akan full house," katanya.
Perancangan dan latihan untuk konsert tersebut sudah dilakukan sekitar Februari.
Damasutra yang dianggotai oleh Baggio selaku vokalis, Amran (pemain bass) dan Assu (pemain dram). Sementara itu, kedudukan Alok sebagai gitar utama akan digantikan dengan individu lain memandangkan Allahyarham meninggal dunia pada 2019.
Beberapa lagu popular kumpulan tersebut antaranya Asyik, Antara Sutra Dan Bulan, Seribu Bayangan, Kurnia, Seruan dan Secebis Cinta Luka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram