Fasih berbahasa Indonesia, Thor kini ketuk dram berbanding tukul, siap jadi pemuzik undangan Ed Sheeran


  • Hiburan
  • Ahad, 08 Sep 2024

Chris bermain drum ketika persembahan konsert Ed Sheeran di Bucharest, Romania.  — Agensi

"APA khabar, siapa nama mu?" Demikian ucapan dilontarkan pelakon terkenal Hollywood, Chris Hemsworth, 41, dalam satu temu bual bersama wartawan di Indonesia beberapa tahun lalu.

Fasih berbahasa Indonesia, siapa sangka pelakon filem Thor itu sebelum ini pernah mengikuti kelas pertuturan bahasa ketika di zaman persekolahannya dekat Australia.

Meskipun sudah lama berlalu, Chris masih lancar bertutur Bahasa Indonesia dan rancak berbual dalam temu ramah tersebut.

BACA LAGI: Baru berjinak karaoke, Angelina Jolie kesepian hampir setengah abad hidup tanpa ‘kawan makan kawan’

BACA LAGI: Tak terlintas berhenti menyanyi, Naufal Azrin hanya serik jumpa orang jenis 'rembat duit'

Dalam pada itu, bakat terpendam pelakon tampan itu tidak terhenti di situ apabila turut berkebolehan bermain alat muzik drum.

Terbaharu, kemunculan Chris yang dilihat bermain drum semasa persembahan Ed Sheeran meraih pujian ramai apabila membuat kejutan khas buat peminatnya di Bucharest, Romania pada Isnin lalu.

Ed Sheeran menerusi laporan Agensi berkata, Chris sebelum ini pernah memintanya untuk mengajar bermain peralatan muzik ketika dia ingin membuat video dokumentari berkaitan ‘kebaikan bermain alat muzik’.

Gemuruh ketika melakukan persembahan, Chris menjelaskan bahawa dia agak gugup ketika melakukan persembahan di samping Ed kerana kerana disaksikan lebih 70,000 penonton.

“Ini merupakan pengalaman paling menakutkan kerana saya perlu belajar bermain drum dan pada masa sama, membuat persembahan di hadapan penonton yang sangat ramai.

“Terima kasih Ed kerana merealisasikan impian saya,” kata Chris di laman Instagram.

photo_2024-09-07_11-00-01

Chris dan Ed Sheeran merupakan rakan baik.

Sementara itu menurut sumber, Chris sebelum ini pernah bercadang mengembangkan karier lakonannya ke arah muzik selain pernah mengikuti kelas piano ketika di zaman kanak-kanak.

Malah, Chris sebelum ini pernah memasang impian untuk menubuhkan kumpulan muzik yang aktif membuat persembahan di pub.

Berkebolehan bermain drum, menjadikannya antara selebriti versatil dan serba boleh yang amat diminati peminat dari serata dunia.

Tidak lagi berselindung di sebalik wajah garang dan perwatakan tegas dalam filem Avengers, Chris atau lebih dikenali dengan watak Thor berkemungkinan besar mengubah haluan hidupnya selaku pemain drum tersohor pula selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram