PENYANYI Naufal Azrin bersyukur apabila syarikat pengurusan lamanya kini mahu melangsaikan sedikit demi sedikit pembayaran yang masih tertunggak berjumlah kira-kira RM28,000.
Naufal berkata, pelbagai cara yang dibuat bagi membolehkan syarikat pengurusannya itu mengambil tindakan untuk melunaskan pembayaran tertunggak.
"Saya tidaklah hanya duduk di rumah dan goyang kaki sahaja tetapi saya jumpa ramai orang untuk bertanya tentang tindakan apa yang saya patut ambil.
"Saya jumpa peguam dan ramai individu lain. Alhamdulillah. Saya rasa ramai rupanya yang sayangkan saya. Jadi saya bersyukur tidak keseorangan hadapan benda sebegini. Alhamdulillah sudah dalam 85 peratus yang dibayar, tinggal sedikit lagi," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pernah cetus kontroversi di Indonesia, Dua Surga Dalam Cintaku rungkai kemanisan poligami
Naufal serik berdepan dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Naufal berkata, dia sudah malas untuk berfikir secara berlebihan yang hanya mengganggu emosinya.
"Ada masa yang kita rasa tertekan, tetapi saya cuba secara perlahan-lahan untuk mengawal emosi.
"Saya pun malas untuk marah-marah atau melenting. Jadi saya bertenang sahaja. Chill, chill.
"Sebab dalam industri ini kita tidak boleh bertindak menggunakan kekerasan untuk mengelak sebarang bahaya kepada keluarga dan orang lain," katanya.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui serik berdepan dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menjalinkan urusan kerja bersama.
"Mungkin serik untuk berdepan dengan pihak-pihak seperti inilah maksud saya. Tetapi untuk menjadi penyanyi itu, saya tidak serik kerana saya masih lagi mahu fokus dengan karier.
"Saya masih tercari-cari sesuatu yang saya boleh bawakan kepada industri muzik negara," katanya.
Mengulas soal perkembangan semasa, Naufal berkata, dia dalam proses untuk mengeluarkan lagu baharu pada tahun ini.
"Belum tetapkan tarikh dan judul lagi, nantilah.. Insya-ALLAH doakan semuanya berjaya," katanya buat peminat.
Sebelum ini, pada 24 Jun lepas, pelantun lagu Casablanca itu memberikan tempoh dua minggu kepada syarikat pengurusan lamanya untuk melangsaikan segala bayaran yang masih tertunggak.
Enggan lagi berkompromi, pemilik nama sebenar Ahmad Naufal Azrin berkata, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya pihak terbabit tetap berdegil.
“Kepada label lama, saya tidak suka buat benda ini sebenarnya tapi tiada pilihan kerana kalian tidak respons langsung panggilan saya.
“Saya bagi masa dua minggu untuk kita jumpa dan selesaikan perkara ini. Kalau tidak saya akan cari cara lain. Paling tidak awak ditangkap sebab rembat duit orang. Saya guna kaedah media sosial agar ada orang boleh bantu.
“Saya bukan jenis banyak cakap. Saya lebih suka gunakan kekerasan kalau dah susah sangat tapi jika buat macam itu, saya juga yang kena nanti,” katanya menerusi media sosial pada Jun lepas.
Difahamkan, syarikat yang menguruskan beberapa artis muda itu sudah tidak lagi beroperasi.
Untuk rekod, Naufal merupakan bekas ahli kumpulan nasyid, Zayne yang ditubuhkan pada 2019, namun meninggalkan kumpulan itu pada 2022 untuk meneruskan kerjaya solo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram