[VIDEO] Remaja sempat ‘selfie’ sambil buli rakan sebaya, polis Betong buka kertas siasatan bawah Seksyen 323/506 KK


  • Tular
  • Isnin, 24 Jun 2024

Tangkap layar seorang remaja lelaki sempat 'selfie' selepas disyaki membuli rakan sebayanya di Spaoh, Betong, Sarawak pada Ahad.

SEORANG remaja lelaki disyaki menjadi mangsa buli beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dipercayai rakan sebayanya di Spaoh, Betong, Sarawak.

Rakaman itu difahamkan dimuat naik sendiri oleh pelaku di laman TikTok pada Ahad dengan tujuan meraih populariti dan tumpuan ramai.

Kegiatan itu yang dipercayai dilakukan di sebuah kawasan kebun, tidak dihentikan mana-mana individu dengan mangsa dilempang dan ditumbuk bertubi-tubi ketika kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Murid lelaki terkulai jadi mangsa buli geng samseng bermotosikal di Kota Samarahan

BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri

Turut memuat naik gambar 'selfie' secara berkumpulan, remaja berkenaan dilihat mengalami kesan lebam dan menangis selepas dipukul beberapa kali oleh pelaku.

Dalam pada itu, mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas kejadian lalu bapa saudaranya, Hyt Nor menerusi hantaran di Facebook menggesa agar kesemua pelaku tampil menyerah diri dalam tempoh 24 jam sebelum laporan polis dibuat.

"Minta tolong pada siapa yang kenal budak yang malukan anak buah aku, nak dibawa ke balai polis, viral kan muka mereka semua, aku bagi masa 24 jam sebelum kes ini dibawa ke balai, anak buah aku belum pulang ke rumah selepas kena buli.

"Tipu kalau tak sakit hati tengok budak itu kena buli. Harus diberikan pengajaran dan hukuman yang setimpal, hari ini mereka buli orang, esok lusa tak tahu apa jadi.

"Entah-entah mangsa sebelum ini memang selalu kena buli dan hari ini Tuhan nak tunjuk, kita ini kalau nak buat jahat fikir mak bapak dulu, jaga nama mereka, kalau buat jahat nama mak bapak yang disebut dahulu, orang tak sebut nama suspek, kes buli sekarang ini tak boleh dipandang ringan.

Namun, pelaku difahamkan sudah menurunkan video tersebut dan akaun TikTok miliknya juga telah dipadam selepas dikecam warganet.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Zamry Alli mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa dilaporkan telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

"Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

"Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, sementara kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Polis meminta semua pihak termasuk masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut kerana kes masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram