[VIDEO] Pemandu ambulans jadi 'hero tak didendang', tunggang motor selamatkan ribuan nyawa di Pulau Pinang


  • 112
  • Isnin, 09 Sep 2024

Lim memeriksa AED dan peralatan kecemasan yang lain sebelum dia keluar dengan motosikalnya untuk bersiap sedia sekiranya berlaku kecemasan di rumahnya di Paya Terubong, Pulau Pinang. — ZHAFARAN NASIB

BERBEKALKAN peralatan penting seperti defibrilator luaran automatik (AED), monitor pesakit mudah alih, dan tangki oksigen kecil di dalam beg galasnya, Lim Meng Jin, telah menyelamatkan lebih 60 nyawa.

Bukan itu sahaja, dedikasi pemandu ambulans berusia 31 tahun untuk membantu orang ramai tidak terhad kepada waktu kerjanya semata-mata, malah dia turut berkhidmat secara sukarela pada masa lapang.

Dengan menunggang motosikalnya, Meng Jin yang memakai uniform khas berwarna jingga akan bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan, terutamanya kepada mangsa serangan jantung dan insiden lain yang memerlukan tindakan segera.

BACA LAGI: 'Rasa macam adiwira', jurukimpal tubuh Pasukan Bomba Sukarela jamin keselamatan penduduk Rawang

BACA LAGI: 'Nak jaga bekas komando lebih susah berbanding bayi'

Tindakannya yang cekap dan pantas mendapat perhatian penduduk setempat di Paya Terubong dan Air Itam di Pulau Pinang sehingga dia dikenali sebagai 'Jiu Ming Ge' atau 'Abang Penyelamat Nyawa' dalam bahasa Mandarin.

Setiap minggu, Meng Jin bertindak balas terhadap lima hingga enam kes kecemasan, walaupun di luar waktu bertugas rasminya.

"Saya memang suka bantu orang. Itu adalah matlamat hidup saya," katanya dengan rendah hati.

Keikhlasan Meng Jin untuk membantu orang ramai dibuktikan apabila dia sanggup berkorban menggunakan wang sendiri.

Dia telah membelanjakan lebih RM40,000 daripada simpanannya untuk membeli peralatan perubatan, termasuk AED yang dibelinya lima tahun lalu dengan harga RM8,800.

Peralatan-peralatan tersebut telah menjadi kunci dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa terbabit.

Bukan setakat membantu penduduk setempat, Meng Jin turut menunjukkan keprihatinannya terhadap haiwan yang berada dalam kesusahan.

"Saya pernah melompat ke dalam longkang untuk menyelamatkan haiwan yang terperangkap," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, dalam menghadapi cabaran geografi, Meng Jin berkata, dia akan menggunakan motosikal jenis scrambler untuk sampai ke kawasan bukit yang sukar diakses oleh kenderaan biasa.

Dia sering menjadi orang pertama yang tiba di tempat kemalangan di kawasan terpencil, sebelum bantuan daripada pihak bomba atau hospital tiba.

Kesediaannya untuk berdepan dengan situasi mencabar ini telah menjadikan Meng Jin sebagai wira setempat.

Walaupun cita-citanya untuk menjadi ahli bomba tidak kesampaian kerana tidak menamatkan persekolahan, Meng Jin tidak pernah berputus asa dalam usahanya untuk membantu orang ramai.

Kini, dia bekerjasama erat dengan pihak bomba dan jabatan kecemasan hospital untuk memastikan bantuan segera dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Saya akan terus lakukan yang terbaik, siang atau malam, untuk menyelamatkan nyawa," kata Meng Jin yang tidak mengharapkan sebarang balasan atas pengorbanannya.

Keberanian dan komitmennya dalam menyelamatkan nyawa, meskipun tanpa jaminan keselamatan peribadi, menjadikan Meng Jin dianggap sebagai wira sejati dalam masyarakat, memberi inspirasi kepada ramai untuk terus berbakti sesama insan. — The Star/N. TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram