Acara Peszta ajak rakyat imbau kembali kegemilangan di Stadium Merdeka


  • Massa
  • Ahad, 08 Sep 2024

Eleena Filza Syahira, 30, (kiri) dan Hanafi Ismail, 35, teruja menyaksikan kolaj gergasi sempena Hari Kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. — The Star

SEBUAH program komuniti bertemakan Kemerdekaan yang dinamakan Peszta akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 14 September depan.

Stadium itu dipilih selepas projek pemulihan lapan tahun yang dijalankan telah pun siap dengan reka bentuk asal dan dilengkapi elemen seni bina di awal era kemerdekaan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, matlamat stadium itu ditambah baik adalah untuk menjadikannya sebagai ruang terbuka yang selesa dinikmati semua masyarakat.

BACA LAGI: Stadium Merdeka kembali 'bernyawa', Harimau Muda boleh jadi pasukan pertama rasmi padang bersejarah

BACA LAGI: Imej terkini Stadium Merdeka buat fans HM, pengulas ternama tak senang duduk

"Acara ini merupakan peluang terbaik untuk membawa rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat bersama-sama menyokong perniagaan tempatan dan meneroka budaya warisan di bandar ini.

"Sebuah pameran juga akan disediakan untuk pengunjung generasi baharu mempelajari sejarah dan mengimbau kembali kegemilangan masa lampau tempat bersejarah itu," katanya.

Peszta turut diadakan di sekitar kawasan Kampung Attap, Kuala Lumpur iaitu di bangunan Zhongshan, Rumah Pentago dan SAM Mansion.

Lokasi lain termasuklah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, Heart Residences, Sri Midas Corner dan Hotel Regal Park yang turut akan menganjurkan pameran, persembahan, ceramah serta pertandingan karaoke pada acara tersebut.

6265014983486193044

Stadium Merdeka berlatar belakangkan Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur. The Star

Golongan keluarga dan kanak-kanak juga boleh menyertai aktiviti seperti kelas memasak dan bengkel ais krim buatan sendiri di Triptyk Bar, Kampung Attap.

Tengku Ab Aziz berkata, acara itu merupakan usaha kerjasama antara pihak berkepentingan di kawasan terbabit yang dikenali sebagai 'presint Merdeka 118'.

Jelasnya, lokasi itu bukan sahaja penting sebagai lokasi perayaan, malah turut menjadi sebahagian daripada kepunyaan masyarakat setempat.

"Pada mulanya, idea menganjurkan acara Peszta adalah bertujuan mewujudkan platform untuk mengembangkan perniagaan di sekitar kawasan itu yang juga merupakan penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118.

"Geran itu bertujuan untuk merangsang perniagaan dan aktiviti sedia ada serta mewujudkan saluran seperti bengkel pembelajaran dan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan profil mereka.

"Tahun ini, seramai 15 penerima bantuan kami akan mempamerkan inovasi dan kreativiti mereka kepada orang ramai pada acara berkenaan," katanya.

Tambahnya, antara produk yang ditawarkan peniaga tempatan semasa Peszta berlangsung termasuklah produk pertanian, kraftangan dan kesenian.

"Kami mahu acara Peszta menjadi ingatan tentang warisan bersama rakyat Malaysia dan perayaan kepelbagaian budaya dimiliki negara.

"Ia juga merupakan peluang berharga untuk masyarakat menyokong dan mengetengahkan perniagaan tempatan dalam komuniti sekitar," katanya.

Dalam pada itu, acara itu juga akan mengembalikan konsert 'Mantap Kampung Attap' bersama undangan artis terkenal Ning Baizura.

Acara yang dibuka kepada orang ramai itu dijangka mampu menarik sehingga 5,000 pengunjung pada tahun ini. — The Star/DIVYA THERESA RAVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram