MALANG menimpa vokalis kumpulan D' Masiv iaitu Rian apabila terkena semburan api ketika membuat persembahan di Bangka Belitung, Indonesia pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku ketika Rian sedang menyampaikan lagunya sambil diiringi kesan khas semburan api di atas pentas.
Namun, situasi tidak diduga berlaku apabila semburan api itu terkena pada lengannya dan telah mengakibatkan mata kirinya berasa pedih.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan parah dialaminya dan nasib menyebelahi penyanyi terkemuka Indonesia itu kerana memakai jaket kulit ketika kejadian.
Memuat naik hantaran di laman Instagram miliknya, Rian bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mata kiri memang rasa pedih sebab hampir terkena semburan api tapi tetap boleh meneruskan konsert sehingga 10 buah lagu.
"Alhamdulillah masih diberikan keselamatan dan kesihatan," katanya.
Menerusi video tersebut, Rian kelihatan terkejut apabila semburan api tiba-tiba menyala di tempat dia sedang berdiri.
Tambahnya, dia berharap insiden itu dapat dijadikan pengajaran buat semua kru produksi agar lebih peka terhadap keselamatan penyanyi dan pemuzik yang berada di atas pentas.
"Saya baik-baik sahaja, kejadian ini boleh dijadikan pengajaran agar kru, pengurus pentas dan semua pihak lebih peka demi memastikan keselamatan pemuzik.
"Semoga tidak terjadi lagi kejadian yang bahaya seperti sebelum ini," ujarnya.
Meskipun berasa tidak selesa dan cemas akan tragedi itu, Rian tetap menghabiskan kesemua 10 buah lagunya pada persembahan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram