STADIUM Merdeka yang terletak di tengah Kuala Lumpur (KL) merupakan satu venue ikonik buat penggemar sukan tempatan, terutamanya bola sepak.
Stadium itu pernah menjadi tuan rumah buat Harimau Malaya buat bertahun-tahun lamanya dengan pelbagai perlawanan berkelas tinggi disaksikan di samping penganjuran beberapa edisi Pestabola Merdeka.
Bagaimanapun, lokasinya yang sukar diakses orang ramai serta pembangunan pesat di tengah bandar raya menyaksikannya ditinggalkan tanpa menerima penyelenggaraan berkala.
Jadi, dalam usaha menghembus nafas baharu buat stadium berkenaan, pelbagai pihak tampil menyalurkan dana dan bantuan untuk membangunkan bangunan bersejarah itu.
Berita itu diterima baik penyokong bola sepak tanah air dengan perkhabaran bahawa Stadium Merdeka bakal kembali dibuka buat orang ramai pada pertengahan 2024.
BACA LAGI: PSM dah jawab isu rumput, tapi ada masalah lain SNBJ belum sedia aksi HM-Oman
Wajah semasa Stadium Merdeka yang sedang dalam proses penyelenggaraan. — Facebook/Cerita Bola - Malaysia
Namun, sehingga kini, masih tiada perkhabaran rasmi mengenai perkembangan venue tersebut sehingga menyebabkan orang ramai ternanti-nanti akan usaha tersebut.
Tanda-tanya itu seakan-akan terpadam baru-baru ini apabila sebuah laman Facebook, Cerita Bola - Malaysia memuat naik sekeping foto mengenai imej semasa Stadium Merdeka.
"Ini adalah keadaan terkini Stadium Merdeka, stadium keramat ini dilihat telah pun menjalani kerja naik taraf berperingkat di mana terlihat kini stadium ini dipasang dan dilengkapi trek olahraga yang baharu.
"Namun, jika dilihat pada keadaan padang, berkemungkinan stadium ini masih menggunakan jenis rumput kebangsaan iaitu jenis cowgrass," tulisnya.
Hantaran itu dibuat berserta gambar terbaru stadium dengan trek berwarna biru dengan Menara 118 kelihatan berdiri megah di latar belakang.
BACA LAGI: Hamidin sudah jawab isu padang SNBJ, fans beri bayangan venue aksi HM-Oman beralih ke SSI
Wan Khairil Azwa pasti teruja untuk mengulas perlawanan di Stadium Merdeka. — LinkedIn/Wan Khairil Azwa
Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai sudah seakan-akan tidak dapat menahan perasaan teruja masing-masing untuk merasai suasana di 'rumah' lama Harimau Malaya itu.
Malah, perasaan itu turut dirasakan pengulas bola sepak ternama, Wan Khairil Azwa yang enggan terlepas peluang bertugas di stadium itu.
"Fuh, bayangkan. 'Salam hormat dan salam bahagia, selamat datang ke Stadium Merdeka, rumah untuk Harimau Malaya," tulisnya ringkas menerusi akaun Facebook peribadinya.
Sebelum ini, Stadium Merdeka difahamkan bakal digunakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sebagai persiapan untuk ke saingan Piala Asia B-23.
Keadaannya yang sudah bersedia pasti bersesuaian dengan hasrat itu apabila penyokong sudah tidak sabar menghidupkan kembali venue keramat tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram