[VIDEO] Dakwa polis tiada SOP, Pengarah JSJK selar tuduhan Betty Banafee sebagai tidak bertanggungjawab


  • Hiburan
  • Ahad, 08 Sep 2024

Tangkap layar video dimuat naik pelakon, Betty Banafee yang mendakwa PDRM tiada SOP dalam menjalankan siasatan kes.

KENYATAAN seorang pelakon yang mendakwa pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam membuat siasatan disangkal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artis dikenali sebagai Betty Banafee itu menerusi hantaran di TikTok mendakwa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negara gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan yang dibuatnya sejak dua tahun lalu.

Tegas menolak tuduhan itu, Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menjelaskan, sebanyak 14 laporan polis dibuat oleh penama Shakib Abu Bakar Banafee (dipercayai adik kepada individu dalam video terbabit) dan empat penama lain yang berkaitan telah diambil siasatan.

BACA LAGI: AI wajah palsu artis lebih bahaya daripada mesej ‘nakal’ — Nazrief Nazri

BACA LAGI: [VIDEO] Diundang PM New Zealand, Khairul Aming perkenal menu sarapan Malaysia termasuk roti jala, nasi lemak ke persada dunia

"Kesemua laporan polis terbabit disiasat dengan sewajarnya oleh polis melalui dua kertas siasatan yang dibuka masing-masing mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sudah selesai dan kes diputuskan NFA (no further action) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu selepas didapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes itu.

"Siasatan kes ini malahan dirujuk dan disemak semula oleh pihak peguam cara negara pada Ogos lalu dan keputusan NFA dikekalkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

@bettybanafee #fyp ♬ original sound - bettybanafee

Tambahnya, pegawai penyiasat juga sudah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes berkenaan mengenai keputusan siasatan.

"Bagi kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan masih dijalankan.

"PDRM memberi jaminan siasatan yang adil dan telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara.

"Ingin ditegaskan, semua laporan polis yang diterima akan disiasat dengan sewajarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan akan merangkumi keterangan serta bukti daripada pihak yang berkaitan termasuklah pengadu dan suspek.

"Adalah tidak wajar untuk melemparkan tuduhan negatif kepada polis hanya disebabkan dapatan siasatan tidak berpihak kepada pengadu.

"Justeru, dakwaan yang dilemparkan oleh pemilik akaun tiktok @bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai SOP dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali.

"Pihak PDRM menyangkal dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram