[VIDEO] 'Rasa nak hempuk muka dia dengan kuali dodol', Fazley Yaakob mangsa terbaharu scam AI lepas Khairul Aming


  • Hiburan
  • Selasa, 03 Sep 2024

Fazley Yaakob menjadi mangsa terbaharu penipuan AI selepas Khairul Aming.

PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menjadi mangsa terbaharu penipuan scammer yang menggunakan suara dan fotonya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu, Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fazley Yaakob, 46, mula menyedari taktik helah tersebut selepas menerima ucapan sedih dan pertanyaan khabar daripada orang ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan percaya, penipu!,' Tokti bengang scammer guna Al muka dan suaranya

BACA LAGI: 'Tempat terbaik untuk cari ketenangan,' ramai doakan Bella Astillah dan Eyka Farhana tunai umrah bersama

"Dah mula dah era penyalahgunaan teknologi AI, suara, muka, pergerakan badan semua boleh diolah.

"Patutlah saya dapat ucapan bertubi-tubi tanya 'kilang awak okay ke? Kesian awak ya, dah kering ke banjir kat kilang awak.

"Tadi saya berjalan kat Petaling Street pun ada mak cik nak bagi saya duit sambil kata, 'Fazley, nah mak cik sedekah untuk awak, kesian kilang besar banjir', saya terkulat-kulat tak tahu saya yang ketinggalan kereta api atau mak cik tu scammer.

"Rupa-rupanya AI Datuk Fazley yang scammer," katanya.

@fazleyyaakob PENIPU SIAL! Nak marah tapi benda ni kelakar! Dah mula dah era penyalahgunaan teknologi #Ai ♬ original sound - Fazley Yaakob

Menerusi perkongsian itu, Fazley turut memuat naik video memaparkan rakaman suara dan wajahnya yang digunakan untuk tujuan penipuan berkenaan.

Pelaku dalam pada masa sama cuba meraih simpati netizen dengan memberitahu kilang milik Fazley dilanda banjir teruk dan terpaksa menjual barangan perkakas seperti periuk bagi menampung kos kerugian.

Dalam perkongsiannya juga, Fazley mengakui turut berasa terkejut kerana ramai pihak yang bertanya keadaan kilangnya itu.

Bekas juara Master Cef Selebriti Malaysia itu menggesa orang ramai jangan mudah percaya dengan penipuan AI yang menurutnya sangat berbahaya.

"Tolong semua, jangan mudah percaya. Terima kasih kepada semua yang sudi kongsi video AI Scammer ni.

"Apa pun, tabik spring lah kat scammer tu, marketing terlebih di luar kotak, sampai rasa nak hempuk muka dia dengan kuali dodol arwah uwan aku," ujarnya.

Terdahulu, pempengaruh media sosial Khairul Aming turut berdepan nasib sama apabila wajahnya diguna pakai dalam sebuah video bagi meraih wang hasil penjualan produk secara atas talian.

Pihak polis sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai yang menjadi mangsa taktik penipuan penyebaran video atau deepfake yang dihasilkan menggunakan teknologi AI untuk tampil membuat laporan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dilaporkan berkata, hanya individu berkenaan boleh membuat pengesahan sekiranya wajah dan suara digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk aktiviti menjurus kepada jenayah penipuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram