PENYANYI nombor satu negara berang apabila terdapat individu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjalankan taktik 'kotor' yang dapat meniru suara dan wajahnya.
Difahamkan, perkara sedemikian dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan semata-mata.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi pihak terbabit.
BACA LAGI: Doktor ulas kes buah pinggang kering dihidapi anak kedua Eyra Hazali
“Palsu! Jangan percaya ‘scammer’! Ini adalah salah satu contoh kes cubaan menipu menggunakan nama, akaun media sosial yang ada nama dan gambar saya, siap letak suara Al untuk yakinkan orang ramai.
“Selebihnya, ambil mana-mana video live saya dengan tujuan hendak perangkap supaya orang percaya,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Siti turut meminta warga emas agar lebih berhati-hati kerana mereka cenderung menjadi golongan sasaran pihak tidak bertanggungjawab.
“Sudah banyak kes penipuan menggunakan nama Siti. Saya sangat berharap agar semua pihak berhati-hati kerana scammer mencari sasaran orang yang berusia (warga emas) untuk memperdaya dengan tawaran hadiah wang tunai... Mereka sebenarnya penipu!” katanya.
Melalui perkongsian itu, dipaparkan individu yang didakwa menyamar sebagai Siti dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghubungi mangsa dengan menggunakan suara hasil janaan AI.
Malah, sesi live yang pernah dikendalikan Siti disunting untuk menampakkan taktik penipuan mereka lebih realistik.
Siti Nurhaliza turut meminta orang ramai menyampaikan taktik scammer itu agar tiada individu yang terpedaya.
"Tolong sampaikan, sebarkan, nasihat dan maklumkan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan anda bahawa saya tidak pernah membuat pertandingan atau dengan tujuan memberi wang tunai kepada sesiapa dan jangan terpedaya apabila menerima mesej, video call dan sebagainya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram