[VIDEO] Diundang PM New Zealand, Khairul Aming perkenal menu sarapan Malaysia termasuk roti jala, nasi lemak ke persada dunia


  • Hiburan
  • Selasa, 03 Sep 2024

Khairul Aming (kanan) bertemu Perdana Menteri New Zealand yang kini berada di tanah air sempena rangka lawatan rasmi.

PEMPENGARUH media sosial, Khairul Aming sekali lagi menjadi bualan hangat warga maya apabila diundang bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang kini berada di tanah air sempena rangka lawatan rasmi.

Undangan istimewa daripada pemimpin New Zealand itu bertitik tolak hasil usaha Khairul Aming menerbitkan video masakan menerusi travelog ke negaranya baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi ciapannya di laman X pada Selasa, yang nyata berbangga untuk terus memperkenalkan hidangan Malaysia ke persada dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rasa nak hempuk muka dia dengan kuali dodol', Fazley Yaakob mangsa terbaharu scam AI lepas Khairul Aming

BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'

"Hari ni Khairul Aming dan Perdana Menteri New Zealand berjumpa sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video masak yang kita buat dekat sana," ciapnya.

Di kesempatan itu, Khairul Aming sempat membuat demo masakan roti jala dan teh tarik selain menyediakan juadah nasi lemak untuk dirasai Luxon.

Dalam pada itu, video percutian ke New Zealand dihasilkan sebanyak sembilan episod dan setakat ini, empat daripadanya telah ditayangkan di laman sosial rasmi miliknya.

Berkonsepkan travelog, Khairul Aming mengetengahkan elemen memasak sambil melancong ke negara berkenaan dan meraih 30 juta tontonan di platform TikTok dan Instagram setakat ini.

Terdahulu, Khairul Aming dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori People’s Choice: Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023 dengan 1.3 juta undian daripada pengguna TikTok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram