IBU kepada wartawan hiburan veteran, Kamal Huzaini Kamaludin, 58, atau lebih dikenali sebagai Huzz, menerima faedah pencen penakat seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Semakan PERKESO mendapati, Allahyarham merupakan pencarum yang berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, sekali gus melayakkan ibunya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan.
Perkara itu dijelaskan Pengarah PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngoman ketika mengadakan Sesi Ziarah Prihatin di kediaman keluarga arwah dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
BACA LAGI: PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum
BACA LAGI: Wartawan hiburan veteran, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus
"Rekod PERKESO mendapati arwah pernah membuat permohonan tuntutan Pencen Ilat di bawah Skim Keilatan Aktar 4 pada 27 Mei lalu, namun kes itu tidak sempat dibawa ke sidang Jemaah Doktor selepas Huzz disahkan meninggal dunia pada 8 Jun lalu.
"Meskipun tidak sempat diproses, namun rekod caruman yang dibuat bukan perkara sia-sia. Buktinya, waris Allahyarham layak menerima faedah FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
"Pencen Penakat sebanyak RM1,027 turut dibayar setiap bulan seumur hidup kepada ibunya," katanya.
Skuad PERKESO menyampaikan bantuan pada keluarga Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin di kediamannya dekat Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, waris keluarga Allahyarham merupakan antara penerima terawal yang menerima peningkatan jumlah bayaran FPM daripada RM2,000 kepada RM3,000 selepas pindaan itu dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.
Mohamad Asri dalam pada masa sama menggesa agar orang ramai khususnya golongan artis dan penggiat seni tanah air mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Jelasnya, masih ramai golongan terbabit belum membuat pendaftaran dan mencarum di bawah skim tersebut dan ia seharusnya menjadi keutamaan buat indidividu berkaitan.
"Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.
"Bencana Pekerjaan Sendiri ertinya kecederaan pada orang berinsurans bekerja sendiri yang disebabkan oleh suatu kemalangan atau suatu penyakit pekerjaan semasa bekerja.
"Satu manfaat yang mungkin tidak disedari ramai, tetapi ia sangat diperlukan ketika pencarum berdepan bencana ataupun dilanda musibah," katanya.
Untuk rekod, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman abangnya di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 8 Jun lalu.
Allahyarham dilaporkan pernah menerima rawatan di Unit Onkologi, Hospital Kuala Lumpur sejak Mac 2024 dan disahkan menghidap kanser usus tahap empat, sebelum dilaporkan berada dalam jagaan keluarganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram