Wartawan hiburan veteran, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus


  • Hiburan
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Huzz sebelum ini terlantar di HKL untuk menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

WARTAWAN hiburan veteran, Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali sebagai Huzz dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6.10 petang, Sabtu.

Berita itu dikongsikan adiknya, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Bekas Pengarang URTV berusia 58 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang akibat kanser usus.

BACA LAGI: Anggota Malbatt, Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai difilemkan, suspek kes bunuh Vina 8 tahun lalu bukan anak pegawai polis Indonesia

Sebelum ini, Huzz terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Penderitaannya turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan sumbangan kepada bekas wartawan itu.

Sumbangan itu diserahkan ketika Anwar yang diwakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menziarahinya di HKL pada 21 Mei lalu.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, di Bertam pada Sabtu malam, selepas waktu Isyak.

Allahyarham merupakan wartawan hiburan yang cukup popular pada era 80-an hingga 90-an.

Selain berperanan sebagai wartawan hiburan, beliau juga merupakan seorang penulis lirik dan antara lagu popularnya termasuk Keangkuhan Mu, nyanyian Ramlah Ram.

Huzz memulakan kerjaya kewartawanannya pada tahun 1980-an bersama akhbar Harian Nasional dan pernah berkhidmat di Media Hiburan, majalah URTV dan Mangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram