SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah lubang pembentung di kawasan kediaman Jatibening 2, Pondok Gede, Kota Bekasi, Indonesia pada Jumaat.
Kejadian berlaku ketika mangsa dilihat sedang mengejar bola dalam keadaan cuaca hujan lebat.
Kawasan dinaiki air setinggi tiga meter itu telah mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam parit berkenaan sebelum dilaporkan hilang dibawa arus deras dari saluran pembentung tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Budak 9 tahun maut dibaham buaya ketika mandi sungai di Sandakan
Rakaman kejadian dikongsikan di laman X dan meraih perhatian warganet sejak Jumaat.
Ketua Bahagian Pemulihan dan Pembinaan Semula Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kota Bekasi, Idham Khalid berkata, kejadian lemas itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang.
"Ketika hujan lebat, mangsa sedang bermain bola dengan tiga lagi rakannya, dia kemudiannya mengejar bola dan terjatuh ke dalam lubang pembentung tersebut.
"Laluan jalan raya di situ sudah mencecah paras lutut mangsa, sebab itu dia tidak nampak lubang pembentung yang tidak bertutup itu," ujarnya.
Sehingga kini, mangsa masih belum berjaya ditemukan dengan pihak polis dibantu Tentera Nasional Indonesia (TNI), sedang berusaha mengesan kanak-kanak terbabit melalui saluran air berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram