Ramai pelajar jadi 'penagih' vape, AADK dan KKM perlu segera laksana ujian air kencing di setiap sekolah — NUTP


  • Massa
  • Ahad, 30 Jun 2024

Pengambilan dadah melalui cecair perisa vape kian meruncing dalam kalangan pelajar sekolah. — Gambar hiasan

GOLONGAN remaja khususnya pelajar sekolah kini semakin mudah terpengaruh dengan trend menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.

Situasi itu bertambah serius apabila beberapa perisa berbahaya seperti ganja dan buah-buahan tiruan memiliki peminatnya tersendiri dan kebanyakannya didominasi golongan pelajar sekolah.

Meskipun perisa haram itu sukar didapati di premis vape, namun kegiatan jual beli melalui pasaran gelap mahupun secara dalam talian sentiasa dijadikan 'lubuk' buat penggemar ganja.

BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape

BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?

2726450

Antara laman Facebook yang didapati menjual vape berperisa ganja secara atas talian.

Kegiatan itu yang tidak diketahui umum, kini semakin terdedah dengan golongan remaja dilihat lebih terbuka untuk menghisap vape di tempat awam.

Mengulas lanjut hal itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon menggesa agar Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) segera menjalankan ujian saringan air kencing dengan lebih kerap di sekolah seluruh negara.

Jelasnya, kaedah itu diyakini mampu mengesan penagih bermula dari peringkat awal yang kini semakin menular di sekolah melalui vape.

"AADK perlu menjalankan ujian saringan air kencing secara berkala di setiap sekolah sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Sekarang memang ada mereka buat tapi cuma sekali sahaja dalam masa setahun dan hanya sekolah tertentu sahaja yang dikenakan tindakan seperti itu.

"Tetapi dengan penambahan kes jenayah dan terbaharu, isu vape perisa ganja ini, seharusnya AADK dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jalankan pemeriksaan dengan lebih kerap kerana perubahan serta ciri fizikal mereka sangat sukar dikenal pasti.

2749636

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon

Dalam pada itu, beliau turut mensarankan agar pihak berkenaan tampil dengan inisiatif baharu bagi mengekang kes vape itu berterusan.

Jelasnya, ciri-ciri seseorang penagih melalui cecair vape amat berbeza daripada kebiasaannya kerana ia bersifat lebih tersembunyi dan tidak diketahui ramai.

"Bahaya vape perisa ganja ini, guru dan ibu bapa tidak tahu akan kegiatan anak-anak di luar jadi mereka bebas menagih walau di mana juga mereka berada.

"Berbanding dengan penagih sedia ada, kesan terhadap fizikal mereka sememangnya jelas dan mudah diketahui melalui perubahan saiz badan dan wajah seseorang itu.

"KKM dan AADK perlu lebih peka dengan situasi semasa dan mengambil pendekatan terbaharu dalam memantau kegiatan vape pelajar sekolah di seluruh negara," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram