SEBUAH bas persiaran dilaporkan terbalik di Kilometer 16.5 laluan Genting Sempah-Genting Highlands, Bentong, Pahang kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani menerusi laporan Sinar Harian berkata, mangsa yang maut merupakan dua penumpang lelaki dipercayai warga China.
Menurutnya, pemandu bas, dua pemandu pelancong warga tempatan dan 16 penumpang warga China yang lain dilaporkan cedera dan berjaya dibawa keluar.
BACA LAGI: [VIDEO] Nyaris kemalangan lepas potong 'double lane', pemandu bas E-Mutiara digantung kerja
"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pukul 10.43 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dan Unit Bomba Genting ke lokasi untuk operasi menyelamat," katanya.
Rakaman kejadian tular di laman sosial dan meraih perkongsian ramai warganet.
Tambahnya, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
"Mangsa yang cedera diserahkan ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan, manakala mangsa yang maut dihantar kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram