'PENYATUAN Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza merupakan antara pencapaian membanggakan sepanjang dia bergelar wartawan hiburan'.
Demikian luahan adik kepada wartawan hiburan veteran, Kamal Huzaini Kamaludin ketika menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pengamal media di kediamannya pada Isnin.
Jelas Nur-ul Afida Kamaludin, 57, Allahyarham merupakan seorang yang sangat peramah dan ceria, selain sikap profesional dalam melaksanakan tugas, dia sangat disenangi rakan media dan juga kenalan artis.
BACA LAGI: PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum
BACA LAGI: Wartawan hiburan veteran, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus
"Mempunyai kenalan rapat dengan selebriti hebat tanah air, detik yang paling diingati dan membanggakan adalah ketika arwah menjadi penyatu antara Datuk Siti Nurhaliza dan Allahyarham Sharifah Aini.
"Ketika itu, satu negara digemparkan dengan kontroversi antara dua artis tersebut dan Huzz merupakan individu yang berjaya memujuk kedua-duanya bersemuka dan berdamai menerusi satu sesi fotografi.
Nur-ul Afida (kanan) ketika ditemu bual pengamal media di kediamannya dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
"Orang ramai mungkin tidak tahu tetapi arwah sangat disenangi dalam industri tanah air dan sentiasa memberikan sokongan kepada rakan-rakan artis," katanya kepada Majoriti.
Skuad PERKESO menyampaikan bantuan pada keluarga Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin di kediamannya dekat Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, ibunya, Noor Hamid, 79, menerima faedah pencen penakat seumur hidup sebanyak RM1,027 dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar daripada PERKESO.
Semakan PERKESO mendapati, Allahyarham merupakan pencarum yang berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, sekali gus melayakkan ibunya layak menerima FPM dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan pernah menerima rawatan di Unit Onkologi, Hospital Kuala Lumpur sejak Mac 2024 dan disahkan menghidap kanser usus tahap empat, sebelum disahkan meninggal dunia pada 8 Jun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram