Pelakon veteran Sarimah Ahmad jadi mangsa scammer, anak beri tempoh 24 jam sebelum lapor polis


  • Hiburan
  • Khamis, 09 Mei 2024

Sarimah Ahmad menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila gambar dan identitinya diguna pakai oleh individu tidak bertanggungjawab di laman media sosial.

PELAKON legenda tanah air, Datuk Sarimah Ahmad, 82, menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila identitinya diguna pakai oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman Facebook baru-baru ini.

Ia bertujuan bagi mempromosi atau menjual produk makanan kesihatan kepada orang ramai dengan menggunakan testimoni palsu daripada artis veteran tersebut.

Perkara itu dikongsikan anaknya, Shahray Zulkifli, 55, di laman Facebook sebaik menyedari kegiatan penipuan itu pada Khamis.

BACA LAGI: Tak mudah nak hapuskan, jangan senangkan kerja scammer

BACA LAGI: Selain buat semakan, ada 2 lagi tip elak kena tipu scammer menyamar LHDN

Jelasnya, dakwaan mengatakan ibunya telah sembuh daripada segala penyakit selepas memakan ubat kesihatan itu adalah palsu dan penipuan semata-mata.

Malah, dia turut menjelaskan bahawa ibunya tidak memiliki sebarang akaun media sosial sepanjang bergelar artis tanah air.

"Mak saya memang tak ada akaun media sosial, tiba-tiba ada akaun Facebook pakai gambar dia dan mengaku jual produk kata ia bagus.

"Ini memang melampau kerana menggunakan orang tua sebagai bahan jualan untuk memperdaya orang ramai sedangkan mak saya tak pernah ambil sebarang pil kesihatan pun," katanya kepada Majoriti.

Tambah anak keempat daripada enam adik beradik itu, dia akan berbincang dengan kakaknya tentang tindakan yang bakal diambil terhadap si pelaku.

"Buat masa ini kami masih belum ambil tindakan undang-undang, tapi saya berikan tempoh 24 jam kepada pelaku sebelum laporan polis akan dibuat oleh kami.

"Saya ada mesej akaun tersebut dan meminta dia turunkan gambar dan hantaran berkaitan mak saya tetapi masih belum ada perubahan setakat ini," ujarnya.

Untuk rekod, Sarimah Ahmad sebelum ini mendedahkan dia kini pulih dari kanser kolon atau usus tahap tiga selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022.

Menurut laporan media, beliau bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik oleh ALLAH sekali gus bebas daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan membuang kanser pada tahun sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram