KETIDAKTENTUAN berterusan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi China dan krisis geopolitik baru-baru ini telah meningkatkan permintaan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai aset selamat, kata Timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
"Banyak yang telah dibuat mengenai prestasi ringgit berbanding dolar AS. Malangnya, ramai yang melihat dan menggunakan ini sebagai penunjuk atau barometer terhadap prestasi kita.
"Ini adalah penilaian yang tidak adil kerana ia mengabaikan prestasi mata wang keseluruhan, kekuatan dan asas ekonomi kita dan prospek ke hadapan," kata Adnan Zaylani sebagai ahli panel di Forum Ekonomi Negara (NEF) 2024 anjuran Dewan Perniagaan Kebangsaan dan Industri (NCCIM) di Kuala Lumpur pada Khamis.
BACA LAGI: BNM naikkan OPR kepada 3 peratus
Beliau berkata, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang dolar Taiwan, yen (Jepun) dan won (Korea) sejak awal 2022. Ia melemah sedikit berbanding renminbi (China), rupiah (Indonesia) dan rupee (India).
“Ini mengesahkan bahawa kita sedang menghadapi kitaran pengukuhan dolar AS, kisah dolar AS, dan bukan kisah kelemahan ringgit.
"Dari perspektif pertumbuhan, Malaysia terus mencatatkan pengembangan dan peningkatan aktiviti ekonomi yang disertai dengan inflasi rendah dan stabil," katanya.
Adnan Zaylani berkata, walaupun ringgit dijangka mencerminkan asas negara dalam jangka panjang, ia akan menghadapi masalah dalam jangka terdekat berikutan kekuatan dolar AS.
"Kadar faedah AS yang tinggi dijangka berterusan untuk beberapa waktu. Keadaan ini telah mempengaruhi tingkah laku dalam kalangan pelabur, korporat, pengeksport dan pengimport serta orang ramai. Sebagai contoh, terdapat minat yang tinggi untuk melabur dalam aset mata wang asing.
"Tambahan lagi, pengeksport boleh memilih untuk memegang mata wang asing manakala pengimport melakukan pembelian lebih awal dan beberapa syarikat korporat juga telah mempercepat bayaran balik hutang mata wang asing,” katanya.
Menurutnya, tindakan ini yang secara berterusan akan mengakibatkan nilai ringgit semakin lemah yang seterusnya menyebabkan trend ini berpanjangan.
"Penurunan nilai yang berlebihan akan menyebabkan kos yang tinggi bagi perniagaan yang mempunyai pergantungan import yang lebih besar.
"Trend ini juga mengakibatkan sentimen negatif yang berpanjangan terhadap ekonomi dan pasaran negara. Sentimen negatif inilah yang perlu kita tangani,” katanya.
Menjelas lanjut mengenai bagaimana BNM akan menanganinya, Adnan Zaylani berkata, pertama sekali, bank pusat akan menggunakan instrumen utamanya untuk mengekalkan kestabilan dan membendung penurunan nilai yang berlebihan dalam pasaran.
"Kami telah melakukan intervensi, iaitu menjual mata wang asing dan membeli ringgit. Intervensi ini telah dilakukan sejak beberapa lama,” katanya.
Kedua, katanya, BNM telah mengadakan libat urus dengan pasaran untuk menggalakkan aliran ke dalam pasaran pertukaran asing, berbincang dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa balik dan menukar pendapatan asing mereka.
Dan yang ketiga, BNM terus meneliti cara untuk menggalakkan lagi syarikat korporat dan perniagaan untuk membawa balik mata wang asing mereka.
Sebagai contoh, katanya, banyak syarikat korporat mendapati lebih bermanfaat untuk tidak membawa balik mata wang asing bagi mengelakkan proses kelulusan untuk melabur semula di luar negara.
"Salah satu inisiatif yang sedang diusahakan adalah projek rintis rangka kerja kelulusan awal yang pantas untuk syarikat korporat yang membawa balik dana mata wang asing dan menukarkan dana ini kepada ringgit, bagi membolehkan mereka melabur semula di luar negara apabila tiba masanya.
"Sambutan daripada beberapa syarikat yang kami hubungi tentang hal ini adalah sangat menggalakkan. Malah ada beberapa daripada mereka yang membawa balik dan menukarkan dana ini dengan segera.
"Hal ini ditambah pula dengan perubahan pada kadar faedah global yang akan berlaku juga. Dengan ini, prospek ringgit kelihatan kukuh,” katanya.
Sementara itu, Adnan Zaylani berkata, terdapat beberapa risiko terhadap inflasi yang boleh berpunca daripada rancangan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi, bagaimanapun, sekiranya risiko ini berlaku, ia dijangka bersifat sementara.
"Lebih penting lagi, rasionalisasi subsidi itu sendiri akan menjadi kemajuan besar dalam pembaharuan struktur negara secara keseluruhan. Komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal akan mengurangkan lagi defisit fiskal.
"Prospek jangka pendek kukuh kerana eksport dan perdagangan luar Malaysia telah mencatatkan pemulihan, peningkatan ketibaan pelancong dan projek pelaburan jangka panjang yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta,” katanya.
Beliau juga berkata, bagi tempoh jangka panjang kerajaan telah membangunkan beberapa pelan induk nasional yang akan memberikan panduan serta hala tuju bagi pertumbuhan negara pada masa hadapan, seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mentransformasikan ekonomi negara.
Selain itu, beliau berkata sejak 2010, pelaburan langsung asing (FDI) oleh pelabur bukan pemastautin secara konsisten memberikan pulangan yang lebih baik berbanding dengan pelaburan yang dibuat oleh pelabur pemastautin di luar negara.
"Mungkin kita harus memberikan tumpuan yang lebih besar pada pelaburan dalam negeri untuk meningkatkan keupayaan, sama ada untuk pasaran domestik atau antarabangsa.
"Dalam tempoh dua tahun lepas, purata pulangan pelaburan untuk FDI berada pada 11.6 peratus, berbanding 7.5 peratus bagi pelaburan pemastautin di luar negara.
"Angka-angka ini merupakan bukti bahawa melaburkan modal anda di dalam negara merupakan keputusan perniagaan yang wajar,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram