SOKONGAN dan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin harus melalui saluran yang betul dan berwibawa, kata seorang pegawai tinggi Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada media tempatan terpilih, Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS untuk Keganasan dan Risikan Kewangan, Brian Nelson berkata, adalah penting bagi dana sedemikian untuk melalui saluran yang betul dan bukannya melalui Hamas.
Katanya, Hamas dikategorikan oleh Washington, AS sebagai organisasi pengganas.
"Kami juga telah melihat peningkatan yang membimbangkan dalam 20 tahun terakhir berkaitan percubaan oleh Iran dan proksinya, termasuk Hamas, untuk mengumpul dan memindahkan wang di rantau ini.
"Sungguh mengecewakan apabila mengetahui yang mereka tergamak menyalahgunakan wang dan sokongan orang ramai terhadap warga Palestin untuk keganasan dan aktiviti haram.
BACA LAGI: AS bimbang, pantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia terjatuh kapal di perairan Bangladesh, rakan sekerja mohon doa semua
"Kami menggesa semua pihak yang ingin menyokong bantuan kemanusiaan di Gaza untuk berbuat demikian melalui sumber amal yang ada reputasi untuk memastikan ia selamat serta tidak disalahgunakan," katanya semasa temu bual di Ibu pejabat American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM Malaysia) pada Khamis.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah melihat pergerakan Hamas Palestin sebagai kumpulan pengganas.
Beliau dilaporkan berkata, adalah tidak adil untuk menumpukan hanya pada serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu sedangkan rakyat Palestin telah menderita di tangan rejim Zionis selama lebih 75 tahun.
Perang Gaza masih berlarutan sejak berpuluh tahun dahulu.
Ditanya sama ada beliau optimis bahawa Malaysia akan bertindak mengikut cadangan yang dibuat oleh Amerika Syarikat berikutan pendiriannya yang berbeza terhadap Hamas dan rakyat Palestin, Nelson berkata, negaranya mengiktiraf pendirian Malaysia dan perkara paling penting ialah menamatkan konflik di kawasan itu.
“Sekali lagi, kami menjelaskan bahawa langkah ini bukan sahaja tertumpu di Jabatan Perbendaharaan, malah di seluruh kerajaan kami juga sedang melakukan yang termampu untuk menyokong bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
"Kami fikir ia adalah kunci untuk menamatkan konflik ini tetapi secara asasnya ia bertujuan untuk memastikan bahawa sumber itu benar-benar sampai kepada rakyat Palestin dan bukan dalam konflik ini," katanya. — The Star /Rahimy Rahim
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram