AMERIKA Syarikat (AS) memberikan amaran terhadap Malaysia susulan kebimbangannya terhadap aktiviti pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal di perairan negara dan potensi penyalahgunaan institusi kewangan oleh negara asing," kata seorang pegawai tinggi Perbendaharaan AS.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama media tempatan baru-baru ini, Setiausaha Perbendaharaan Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Brian Nelson berkata, lawatannya ke rantau Asia Tenggara dari 6 hingga 9 Mei menumpukan kepada dua isu utama iaitu menjejaskan keupayaan Rusia dalam mengekalkan serangan terhadap Ukraine dan menentang pembiayaan pengganas oleh Iran serta proksinya.
“Saya berpendapat bahawa lawatan ini adalah bertujuan untuk menyedarkan Malaysia tentang kebimbangan yang kita hadapi dan bekerjasama untuk menangani kebimbangan itu,” katanya di ibu pejabat Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM Malaysia) pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia terjatuh kapal di perairan Bangladesh, rakan sekerja mohon doa semua
BACA LAGI: Helikopter terlibat nahas TLDM selamat untuk terbang — Laporan siasatan
Lawatan itu dibuat ketika beliau menumpukan keutamaan kepada pembiayaan untuk kumpulan militan yang dihalakan melalui Asia Tenggara, termasuk usaha mengumpul dana dan penjualan minyak Iran secara haram.
Nelson menambah bahawa, AS telah memantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia, yang boleh menimbulkan risiko alam sekitar dan keselamatan yang besar.
"Saya ingin mengatakan bahawa kita telah memantau dan menjelaskan panduan kepada sektor marin mengenai jenis perkhidmatan membabitkan pemindahan dari kapal ke kapal yang kerap pada waktu malam.
"Aktiviti sebegini dari semasa ke semasa dilihat sebenarnya bertujuan mengaburkan asal usul bahan komoditi itu, atau lebih tepat dalam kes ini adalah minyak Iran.
"Jadi, ia merangkumi sektor pentadbiran pelabuhan, syarikat kapal tunda dan semua infrastruktur yang agak mahal yang diperlukan untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Nelson berkata, antara kegiatan yang dikesan adalah apabila pihak tidak bertanggungjawab itu mematikan peranti lokasi masing-masing selain cuba mengaburkan nama kapal di samping cuba memalsukan dokumen penting tentang komoditi yang dikeluarkan.
“Kami pasti akan campur tangan kerana bimbang dan jika Iran terlibat dalam pemindahan minyak dari kapal ke kapal, kami akan memastikan yang kami sudah melakukan yang terdaya untuk memberi amaran terhadap kedua-dua ancaman tersebut," jelasnya.
Nelson pada masa sama turut menyatakan bahawa terdapat individu asing dan anasir jahat yang sengaja mengekalkan perang dan konflik di Timur Tengah serta Ukraine bagi menjalankan aktiviti haram mereka.
Perang Gaza masih berlarutan sejak berpuluh tahun dahulu.
"Kami juga telah melihat peningkatan yang membimbangkan dalam 20 tahun terakhir berkaitan percubaan oleh Iran dan proksinya, termasuk Hamas, untuk mengumpul dan memindahkan wang di rantau ini.
"Sungguh mengecewakan apabila mengetahui yang mereka tergamak menyalahgunakan wang dan sokongan orang ramai terhadap warga Palestin untuk keganasan dan aktiviti haram.
"Kami menggesa semua pihak yang ingin menyokong bantuan kemanusiaan di Gaza untuk berbuat demikian melalui sumber amal yang ada reputasi untuk memastikan ia selamat serta tidak disalahgunakan," katanya semasa temu bual di Ibu pejabat American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM Malaysia) pada Khamis.
Dia menambah bahawa salah satu cara utama rejim Iran mengumpul wang untuk menyebarkan keganasan dan ketidakstabilan adalah melalui penjualan minyak haram kepada pembeli di Asia Timur.
"Kebanyakan penghantaran ini merentasi perairan sekitar Malaysia dan dimuatkan ke atas kapal yang diragui kesahihannya yang mungkin juga menimbulkan risiko alam sekitar dan keselamatan yang besar.
"Kami amat mengambil berat tentang sesiapa sahaja yang menyediakan perkhidmatan kepada kapal berkenaan, terutamanya mereka yang menjalankan pemindahan minyak haram dari kapal ke kapal, kerana gerakan berisiko ini boleh membawa kepada kemalangan atau tumpahan minyak yang mengancam pantai walaupun ia berlaku di perairan antarabangsa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram