PENGGUNAAN teknologi yang kian meluas menjadikan pelaku jenayah siber dan komersial semakin berevolusi dalam melaksanakan kegiatan mereka.
Pendek kata, semakin canggih teknologi, semakin canggih jugalah pendekatan jenayah melibatkan penipuan dalam talian.
Bagi masyarakat yang kurang terdedah dengan selok-belok dunia teknologi maklumat, risiko untuk mereka ditipu adalah lebih tinggi.
Pun begitu, jangan tak tahu, individu berpangkat tinggi juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa jenayah siber yang terus menunjukkan peningkatan saban tahun.
Penipuan dalam bentuk panggilan telefon dan penghantaran surat palsu menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan antara kes yang sedang berleluasa ketika ini.
Justeru, bagi mengelakkan lebih ramai individu terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan, agensi di bawah Kementerian Kewangan itu tampil memberikan penerangan berhubung situasi itersebut.
BACA LAGI: Tak mudah nak hapuskan, jangan senangkan kerja scammer
Contoh surat tipu LHDN yang digunakan penjenayah untuk menipu orang awam sehingga menjadi mangsa. — Facebook
Menerusi satu kenyataan kepada Majoriti, LHDN memaklumkan, pihaknya masih menggunakan kaedah penghantaran surat sebagai salah satu medium perhubungan antara LHDN dengan pembayar cukai.
Menurutnya, antara surat yang dikeluarkan kepada pembayar cukai adalah seperti Surat Permohonan Dokumen Pembuktian bagi tujuan semakan audit (CP800), Pemakluman Baki Cukai (CP560X) dan Pemberitahuan Tindakan Mahkamah (CP91).
"Notis Tuntutan Cukai Tertunggak juga dikeluarkan oleh LHDN kepada pembayar cukai bagi menuntut amaun baki cukai tertunggak yang masih belum dijelaskan oleh pembayar cukai.
"Bagaimanapun, Notis Tuntutan Cukai Tertunggak adalah makluman terakhir sebelum tindakan sivil diteruskan.
"Untuk makluman, LHDN boleh meneruskan tindakan undang-undang melalui prosiding sivil terhadap pembayar cukai berdasarkan Seksyen 106, ACP 1967," katanya.
Namun begitu ujarnya, pembayar cukai diberi tempoh masa 14 hari dari tarikh notis untuk menjelaskan tuntutan cukai tertunggak atau menghubungi pihak LHDN bagi membincangkan aturan bayaran.
Jelasnya lagi, Notis Tuntutan Cukai Tertunggak dikeluarkan kepada pembayar cukai berdasarkan alamat terkini dalam rekod pangkalan data LHDN.
"Serahan dibuat secara kediri, pos berdaftar atau pos biasa selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 145, ACP 1967.
"Walau bagaimanapun, menurut peruntukan seksyen 89 ACP 1967, adalah menjadi tanggungjawab pembayar cukai untuk memaklumkan sebarang perubahan alamat kepada LHDN dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pertukaran alamat.
"Pemakluman perubahan ini boleh dibuat secara dalam talian melalui MyTax menggunakan menu e-Kemaskini Profil Diri atau di pautan https://mytax.hasil.gov.my," katanya.
BACA LAGI: 'Data kita senang betul leak', maklumat lebih 1,300 mangsa banjir didakwa bocor
Pembayar cukai disarankan untuk membuat semakan dengan pihaknya terlebih dahulu.
Dalam pada itu, agensi berkenaan turut menyenaraikan tiga panduan bagi mengelakkan pembayar cukai daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.
Panduan pertama adalah dengan memuat turun aplikasi MyTax 2.0 bagi menyemak dan mendapatkan status terkini percukaian.
"Aplikasi MyTax merupakan gerbang informasi percukaian yang membolehkan semua transaksi percukaian dijalankan dengan lebih mudah di hujung jari pembayar cukai.
"Antara transaksi percukaian yang boleh dilaksanakan adalah seperti e-Filing, e-PCB, e-Daftar, ByrHASiL dan pelbagai lagi," maklumnya.
LHDN turut memberitahu, pembayar cukai disarankan untuk membuat semakan dengan pihaknya terlebih dahulu.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui panggilan telefon ke pusat perhubungan di talian 03-8911 1000 atau 603-89111100 untuk individu yang berada di luar negara.
"Selain itu, boleh juga semak menerusi platform interaksi HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas LHDNM di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.
"Atau anda boleh hadir terus ke pejabat LHDN yang berdekatan," jelasnya lagi.
O
Orang ramai boleh hadir terus ke pejabat LHDN yang berdekatan untuk melaksanakan pembayaran cukai.
Agensi itu turut mengingatkan orang ramai agar memastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada pihaknya.
"Bayaran cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atau LHDN.
"Sementara itu, bayaran duti setem kepada pemungut duti setem," jelas kenyataan itu.
LHDN secara proaktif telah mengeluarkan peringatan berkala kepada pembayar cukai berkaitan kegiatan sindiket penipuan melalui pelbagai platform seperti hebahan menerusi e-mel, media sosial, portal rasmi, seminar, temu bual, kenyataan media dan lain-lain.
Ujarnya, ia bertujuan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
"Sebagai maklumat tambahan, LHDN adalah terikat dengan peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.
"Setiap maklumat peribadi pembayar cukai tidak akan dihebahkan kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram