Remaja usia 19 tahun menangis teresak-esak di mahkamah Alor Gajah lepas didakwa rogol anak saudara tiri


  • 112
  • Khamis, 09 Mei 2024

Tertuduh didakwa merogol anak saudara tirinya di sebuah kediaman dekat Alor Gajah, Melaka pada Februari lalu. — Gambar hiasan

SEORANG remaja menangis teresak-esak selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka pada Khamis susulan dua pertuduhan merogol anak saudara tirinya pada Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 19 mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tanpa kerelaannya.

BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat

BACA LAGI: Gara-gara tak cukup duit ganti pemadam, budak perempuan 9 tahun 'rela dirogol' rakan sebaya

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi dan 2.30 pagi di sebuah kediaman beralamat dalam daerah Alor Gajah pada 18 Februari dan 23 Februari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu yang juga merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia hanya bekerja di kedai makan dan bapanya seorang pemandu lori.

Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah turut menetapkan 10 Jun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram