MESKIPUN aplikasi TikTok sebelum ini dikenali sebagai salah satu medium berbentuk hiburan, namun peranannya kini sudah menjangkaui lebih dari itu.
TikTok juga memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan, terutamanya perniagaan tempatan untuk mencipta kehadiran digital serta menyatakan kreativiti mereka dalam memasarkan produk.
Media sosial membantu peniaga mengenal pasti golongan sasaran mereka, sekali gus membuka ruang keuntungan yang lebih besar.
Pastinya, peluang ini digunakan sebaiknya oleh pemilik jenama tempatan mahupun pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai satu usaha untuk mempromosikan perniagaan mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga mengaku silap, terjual lemang berinti paku tajam kepada pelanggan
Seorang peniaga lemang, Azizi Abdul Manan, 45, mengakui penggunaan media sosial amat membantu dalam meningkatkan jualan lemangnya.
Sejak bergiat aktif di TikTok pada tahun 2019, pemilik Lemang Hobbit KKSB itu cenderung menggunakan medium tersebut sebagai salah satu cara untuk mengembangkan perniagaannya yang beroperasi di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, Selangor.
Boleh dikatakan, jualan lemang meningkat hampir 100 peratus selepas dia bernekad untuk membuat siaran langsung dan memuat naik beberapa gambar dan video mengenai jualannya.
"Media sosial khususnya TikTok sangat membantu saya. Selepas saya kongsikan nombor telefon di aplikasi tersebut, mereka yang sebelum ini tidak pernah membeli dengan saya pun akan mesej dan tempah sama ada menerusi WhatsApp atau panggilan telefon.
"Jika sebelum ini kebanyakan pelanggan datang dari kawasan berdekatan, namun selepas video saya tersebar dan banyak tontonan, semakin ramai pembeli yang datang dari jauh semata-mata nak mendapatkan lemang ini.
"Antaranya saya menerima kunjungan pembeli dari USJ, Putrajaya, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Shah Alam," katanya kepada Majoriti.
Penggunaan media sosial amat membantu dalam meningkatkan jualan lemang di Lemang Hobbit KKS.
Bercerita mengenai penjualan sempena hari raya, Azizi berkongsi, tempahan untuk lebaran sudah dibuat sejak minggu pertama Ramadan.
Ujarnya, sepanjang tempoh bulan puasa ini, jualan lemang miliknya sudah mencecah lebih 700 batang dan dijangka semakin bertambah pada hari raya nanti.
"Sambutan ini juga mungkin atas sebab kita dah buka gerai ini selama enam tahun, jadi orang ramai dah kenal dan Alhamdulillah mereka percaya dengan lemang kita.
"Saya berharap dengan perkembangan dan sambutan pengguna TikTok juga dapat menarik lebih ramai pengunjung ke gerai yang saya usahakan bersama kawan-kawan," katanya yang memiliki sejumlah 1,480 pengikut di laman TikTok dengan nama @2024taukeylemanghobbit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram