PENIAGA 'lemang paku' yang menimbulkan teka-teki dalam kalangan warga maya mengakui bahawa dia menggunakan buluh tambahan milik anaknya untuk memasak makanan tradisional itu.
Katanya, ada kemungkinan besar buluh berkenaan digunakan sebagai tempat penyimpanan paku.
Sebelum ini, kecoh di aplikasi TikTok apabila seorang peniaga mengakui hairan selepas dimaklumkan lemang yang dijualnya kepada pelanggan mengandungi paku di dalamnya.
Hal tersebut dikongsikan menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok @ummu.saifullah pada Rabu.
Menerusi klip berdurasi 17 saat tersebut, peniaga berkenaan menunjukkan sejumlah paku besi berukuran kira-kira 50 milimeter (mm) ditemukan di dalam buluh lemang berkenaan.
Lelaki itu bagaimanapun terkejut dengan penemuan paku-paku besi itu.
Sedangkan ujarnya, dia sendiri yang bertugas untuk menjalankan keseluruhan proses bermula dari awal hingga akhir.
BACA LAGI: Mahal tapi tak sedap, ramai peniaga bazar Ramadan dijangka ‘gulung tikar’ macam tahun-tahun sudah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Microsleep' disyaki punca pemandu Ativa hilang nyawa di R&R Senawang
Justeru, dia akan memastikan buluh berada dalam keadaan bersih sebelum beras dimasukkan ke dalamnya.
“Dah sampai dekat pelanggan tiba-tiba kurang lebih 10 minit dia telefon. Kenapa ada paku dalam lemang?
"Aku pun macam ehh paku? Mana datang paku, sebab aku yang basuh buluh, yang potong buluh, yang buat A – Z. Memang tiada paku.
“Nasib baik pelanggan baru potong, belum masuk mulut. Dia perasan pun lepas dia nak potong bahagian bawah lemang,” jelasnya di ruangan kapsyen.
Peniaga berkenaan bersyukur kerana pelanggan tersebut segera memaklumkannya tentang insiden itu.
Malah dia juga sudah menggantikan lemang baharu untuknya kerana kebetulan pada hari kejadian, makanan itu memang ada lebih.
“Kebetulan memang aku masak lemang lebih, ganti yang baru buka depan mata pelanggan. Lagipun saya masak memang tujuh batang saja. Memang qc (periksa kualiti) siap-siap,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram