KECOH di media sosial selepas rakaman pemandu kenderaan yang melakukan pusingan U dan melawan arus di laluan keluar Raub, Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub tular pada Ahad.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tiada tindakan saman yang akan dikenakan terhadap pemandu-pemandu berkenaan.
Sebaliknya ujar beliau, jalan keluar itu akan ditutup bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Walaupun tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku, namun buat masa ini kita menekankan advokasi keselamatan jalan raya.
"Memang ia tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini, kita faham mereka semua nak balik kampung dan kita bukan mencari kesalahan, tetapi hanya mahu permudahkan urusan semua," katanya pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Butik jenama popular baju raya terbakar di Bangi, 2 pekerja sesak nafas
Razarudin dalam pada itu memberitahu, lebih 5,900 anggota dan pegawai trafik seluruh negara terlibat dalam Op Selamat 22 yang bermula pada 8 hingga 13 April ini.
"Enam kesalahan utama diberi penekanan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit," katanya.
Beliau menjelaskan, pihak polis juga akan melakukan pemantauan dan kawalan aliran trafik terutamanya titik hitam dan lokasi panas.
"Tumpuan kita kempen ini (Op Selamat) adalah mendidik rakyat, sikap satu elemen penting yang mana pengguna jalan raya hendaklah bertanggungjawab antara satu sama lain.
"Kita juga mengingatkan orang ramai memandu dengan cermat dan memeriksa kenderaan terlebih dahulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram