Mula-mula jadi mangsa, lama-lama jadi penjenayah seksual


  • 112
  • Isnin, 08 Apr 2024

Terdapat 912 kes jenayah seksual direkodkan pada tahun lalu membabitkan suspek berumur di bawah 18 tahun. — Gambar hiasan

UMUM mengetahui pendedahan terhadap telefon pintar dan media sosial menjadi antara penyumbang terbesar dalam kes melibatkan jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Namun sebenarnya, terdapat satu lagi faktor tambahan yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kes tersebut.

Data menunjukkan terdapat sebahagian anak-anak muda yang sebelum ini pernah menjadi mangsa bertukar menjadi penjenayah seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kanan Siti Kamsiah Hassan berkata, penyalahgunaan gajet dan media sosial menjadi penyebab kanak-kanak terjerumus ke arah jenayah seksual.

Menurutnya, dengan kecanggihan gajet dan teknologi terkini, tidak mustahil golongan berkenaan akan bertindak menjadi lebih ganas.

“Dikhuatiri jenayah melibatkan mangsa dan penjenayah dalam kalangan kanak-kanak berlaku terutamanya melibatkan mereka di bawah umur 10 tahun yang dianggap sebagai orang yang tidak boleh memikul tanggungjawab jenayah di bawah undang-undang.

"Kami bimbang jenayah yang dilakukan oleh pelaku ini tidak dilaporkan dan hanya diselesaikan di peringkat keluarga yang terjejas sahaja," katanya kepada The Star.

Siti Kamsiah berkata, pengenalan awal kanak-kanak terhadap media sosial atau platform digital boleh menggalakkan jenayah seksual, sama ada secara fizikal atau bukan, seperti rogol dan pengantunan (eksploitasi kanak-kanak untuk tujuan seksual).

"Ia boleh berlaku walaupun dengan kenalan baharu dan perasaan cinta juga tidak perlu hadir dalam situasi sedemikian," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki didakwa langgar lari 2 beradik di Kuala Kangsar ditahan polis

Pengenalan awal kanak-kanak terhadap media sosial atau platform digital boleh menggalakkan jenayah seksual.

BACA LAGI: [VIDEO] Mahasiswi alami gegaran otak terkena serpihan Superstar Ride di 'fun fair'

Beliau mendedahkan, terdapat 912 kes jenayah seksual direkodkan pada tahun lalu membabitkan suspek berumur bawah 18 tahun.

Ini termasuk 601 kes rogol, pencabulan (17), seks luar tabii (18), gangguan seksual (23) dan pengedaran atau pemilikan bahan lucah (tiga).

Ujarnya lagi, seramai 20 suspek di bawah umur terlibat dalam cubaan menggunakan kanak-kanak sebagai bahan pornografi.

“Kami juga merekodkan 215 kes serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak, sembilan serangan seksual bukan fizikal dan lima kes pengantunan melibatkan suspek di bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah turut menegaskan bahawa kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak boleh ditahan atas tuduhan jenayah, hanya laporan polis dan siasatan boleh dibuat untuk mengenal pasti masalah itu.

Beliau berkata, ia akan membantu mengenal pasti faktor yang mendorong kanak-kanak berkenaan melakukan perbuatan sedemikian selain membantu dalam intervensi awal dan pemulihan oleh agensi berkaitan serta keluarga terbabit.

"Sekiranya tingkah laku seksual kanak-kanak tidak dilaporkan dan keluarga tidak mengambil langkah awal untuk mengenal pasti punca dan memperbaikinya, dikhuatiri kanak-kanak itu akan menganggap tingkah laku ini sebagai perkara biasa dalam masyarakat," katanya.

Bukit Aman's Sexual, Women and Child Investigation Division (D11) principal Asst Comm Siti Kamsiah Hassan during the interview in Bukit Aman, Kuala Lumpur.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Siti Kamsiah

Pada 2022, sebanyak 1,006 kes jenayah seksual melibatkan suspek di bawah umur 18 tahun direkodkan, termasuk 779 kes rogol, pencabulan (21), gangguan seksual (lapan) dan pengedaran atau pemilikan bahan lucah (lima).

“Tiga suspek bawah umur turut terlibat dalam cubaan menghasilkan, menjual, mengakses dan menggunakan kanak-kanak untuk tujuan pornografi,” katanya sambil menambah polis turut merekodkan 190 serangan seksual fizikal ke atas kes kanak-kanak melibatkan suspek bawah umur pada tahun sama," maklumnya.

Sementara pada 2021, polis merekodkan 731 jenayah seksual melibatkan suspek berumur di bawah 18 tahun.

Jelas beliau, ia termasuk 552 kes rogol, pencabulan (lima), gangguan seksual (lapan) dan pengedaran atau pemilikan kes bahan lucah (dua).

Enam suspek bawah umur terbabit cuba menggunakan kanak-kanak bagi tujuan pornografi kanak-kanak, dengan 154 kes serangan seksual fizikal, dua kes serangan seksual bukan fizikal dan dua kes pengantunan membabitkan suspek berkenaan. — The Star/AUSTIN CAMOENS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram