[VIDEO] 'Dia insan yang kuat', penjual lemang OKU di Sri Petaling sebak jumpa Anwar Ibrahim, terkedu dipelawa berlakon


  • Massa
  • Khamis, 20 Apr 2023

Epul terharu apabila dapat bertemu dan bersalaman dengan Anwar Ibrahim. — Twitter/sadiqasyraf

SEBAK dan terharu. Itu perasaan yang boleh menggambarkan situasi dilalui penjual lemang di Sri Petaling, Kuala Lumpur apabila berpeluang bersalaman dan beramah mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

Individu itu yang dikenali sebagai Shaiful Selamat atau lebih mesra disapa Epul pada awalnya dipelawa oleh sebuah syarikat produksi untuk membuat penggambaran iklan di premis niaganya.

Bagaimanapun Epul seolah-olah tidak percaya apabila dihadiri kru rakaman terbabit yang mahu menyewa peralatan niaga dan membuat penggambaran iklan bersama Perdana Menteri ke-10 itu.

"Tiba-tiba orang datang nak sewa peralatan lemang, dan kena berlakon, dapat pula bertemu dengan Perdana Menteri yang saya biasa tengok dalam televisyen sahaja dan dia seorang insan yang kuat serta teguh walau diasak pelbagai perkara.

"Sebagai orang biasa macam ini, saya terpaksa ambil risiko untuk hidup, yuran sekolah anak pun tidak mampu bayar jadi saya buat segala jenis kerja janji mendatangkan rezeki buat anak-anak.

"Berasa tertipu masa PKP, saya sampai letak bendera putih untuk dapat nasi bagi anak makan, saya tak mahu semua itu berlaku lagi jadi biarlah PMX menjalankan amanah. Saya sentiasa sokong dan semoga beliau sihat selalu," ujarnya.

Rakaman yang begitu memilukan itu boleh ditonton menerusi pautan di Twitter @sadiqasyraf

Difahamkan, Epul mengalami kecacatan di tangan kanan yang menyebabkan anggota itu tidak boleh berfungsi sepenuhnya.

Dia kini sedang dalam proses untuk memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh membuat tempahan lemang di premis niaganya dikenali dengan nama 'Lemang Drum Resipi Beranang' yang dijual di daerah Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim turut menyuarakan harapannya agar rakyat memperkukuh perpaduan bagi membangun dan menyelamatkan negara tercinta.

Beliau menyampaikan perkara itu menerusi video berdurasi dua minit 36 ​​saat yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.

Anwar berkata, beliau percaya perpaduan rakyat dapat mengangkat martabat negara dan hidup dalam suasana aman dan makmur bersama.

“Sempena sambutan yang disambut oleh seluruh umat Islam di negara kita dan seluruh dunia ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

"Mari kita kuatkan semangat, perpaduan rakyat Malaysia, bangunkan negara, selamatkan negara bermula dalam diri kita kerana selepas Ramadan kita telah membersihkan diri, jiwa kita serta mengangkat maruah keluarga, masyarakat, negara kita sebagai satu," katanya.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan berkata, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis (20 April) bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram