Logo kasut mirip kalimah ALLAH: MCMC beri amaran jangan sebar kandungan 3R


  • Massa
  • Isnin, 08 Apr 2024

Tapak kasut yang dilakar seakan-akan kalimah ALLAH mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum, raja).

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, MCMC menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat dalam media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah ALLAH supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kepada suruhanjaya itu melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my untuk tindakan selanjutnya.

"MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

"Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini," menurutnya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah jadi trend ke?' suami isteri terkejut kalimah ALLAH tertera pada tapak kasut jenama lokal

mcmc

MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R.

BACA LAGI: [VIDEO] Tapak kasut mirip kalimah ALLAH: Dr Akmal Saleh beri pengeluar kasut tempoh 24 jam buat penjelasan

Majoriti sebelum ini melaporkan, seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Mohd Haridz mengakui terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai logo seakan-akan kalimah ALLAH.

Difahamkan, kasut berharga RM100 itu dibeli di rangkaian butik jenama berkenaan yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut memaklumkan bahawa Jakim diarah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram