Lupakan Ed Sheraan tapi Beyonce, Inul dan Michael Jackson berkongsi sebab sama pernah ‘diharamkan’ di Malaysia


  • Hiburan
  • Selasa, 27 Feb 2024

Ed Sheeran bukanlah artis antarabangsa yang konsertnya mencetus kontroversi di Malaysia.

BARU-BARU ini, penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran melangsungkan konsert jelajahnya dengan begitu meriah.

Walaupun penganjurannya mendapat tentangan banyak pihak terutamanya golongan agamawan dan parti politik, ia tetap berjalan seperti yang dijadualkan.

Kemunculan Ed Sheeran di negara ini mencetuskan kemarahan ramai disebabkan dakwaan dirinya cuba membawa fahaman Barat sehingga berisiko merosakkan akhlak masyarakat Malaysia.

Bukan setakat itu, peminat sukan tanah air juga berang apabila konsertnya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus mengulangi kebimbangan bahawa padang tersebut akan rosak seperti yang berlaku selepas konsert Coldplay pada akhir tahun lalu.

Tapi untuk pengetahuan, Ed Sheeran bukanlah artis antarabangsa yang konsertnya mencetus kontroversi di Malaysia.

Justeru, Majoriti senaraikan tiga lagi konsert penuh kontrovesi yang dibatalkan di Malaysia :

1) Michael Jackson (1996)

Michael-Jackson-GettyImages-88688373-1000x600

Kerajaan Selangor pada ketika itu bimbang tarian goyang pinggul Michael Jackson akan membawa pengaruh buruk kepada generasi muda. — Agensi

Memegang status sebagai Raja pop dunia tidak menjanjikan setiap layanan terbaik dapat diberikan kepada mendiang Michael Jackson.

Konsert Michael Jackson HIStory World Tour ’96 pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor.

Namun kurang dua minggu sebelum berlangsungnya konsert itu, kerajaan negeri Selangor bertindak menarik balik permit persembahan seterusnya membatalkan konsert tersebut.

Tindakan itu dibuat atas faktor konsert itu bertentangan dengan nilai masyarakat tempatan, yang mana kerajaan Selangor ketika itu bimbang tarian goyang pinggulnya akan membawa pengaruh buruk kepada generasi muda.

Malah Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menegaskan, hanya artis yang membawa imej baik dibenarkan membuat persembahan di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, penganjur akhirnya memutuskan lokasi konsert dipindahkan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ia disebabkan tiket telah terjual ditambah persiapan juga sudah banyak dilakukan.

Memandangkan jumlah jangkaan penonton yang pastinya akan melebihi kapasiti Stadium Merdeka, maka konsert Michael telah ditambah sehari lagi, iaitu pada 29 Oktober 1996.

Untuk rekod, demonstrasi membantah kehadiran penyanyi itu diadakan pada hari 25 Oktober 1996 berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit

2) Beyonce (2007)

Beyonce

Beyonce enggan mengikut syarat kod pemakaian seperti menutup bahagian atas dada sehingga bawah lutut termasuklah bahagian bahu. — Agensi

Penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Beyonce pernah dijadualkan mengadakan konsert The Beyonce Experience World Tour di Kuala Lumpur pada 1 November 2007.

Pengumuman itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Manakan tidak, pemilik nama sebenar Beyoncé Giselle Knowles-Carter itu cukup terkenal dengan imej penyanyi liar dan seksi yang dibawanya.

Ekoran itu, golongan agamawan dan ahli politik tempatan mendesak Beyonce agar tidak menggenakan pakaian yang menonjol jika ingin membuat persembahan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menetapkan kod pemakaian seperti menutup bahagian atas dada sehingga bawah lutut termasuklah bahagian bahu.

Mendengarkan syarat ketat tersebut, artis versatil itu tidak menunggu lama untuk membatalkan konsertnya sebelum mengalihkan lokasi konsertnya ke Jakarta, Indonesia pada tarikh yang sepatutnya dia membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Namun dua tahun kemudian, Beyonce sekali lagi berhasrat membuat persembahan di ibu negara pada 25 Oktober 2009 tetapi dibatalkan.

Ia susulan bantahan Pemuda PAS yang meneruskan pendiriannya dengan menggesa kerajaan membatalkan persembahan artis itu dengan mengatakan konsert tersebut akan mempromosikan persembahan seksi dari Barat dan tidak bermoral.

BACA LAGI : Tetap syarat jangan bagi tertuduh kes mahkamah masuk 'live', podcast — Peguam

3) Inul Daratista (2008)

20230624-204647_inul-daratista-akan-tampil-di-pekan-raya-sumatera-utara

Inul terpaksa membatalkan konsertnya di Malaysia selepas para ulama dan ahli politik tempatan membantah gelek gerudinya. — Agensi

Bukan penyanyi Barat sahaja, malah bintang dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista juga pernah 'diharamkan' persembahannya pada tahun 2008.

Dikenali dengan jolokan goyang gerudi, Inul pernah menimbulkan kontroversi panas di Malaysia selepas mengumumkan akan membuat persembahan pada 19 Julai 2008 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus di Larkin, Johor Bahru.

Laporan media tempatan memaklumkan, Inul yang pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2005 terpaksa membatalkan konsertnya di Malaysia selepas para ulama dan ahli politik tempatan membantah gelek gerudi penyanyi dangdut tersebut.

Pihak berwajib di Kuala Lumpur dan Johor akhirnya membatalkan permit persembahan sekali gus konsert tersebut terbatal.

Tindakan itu menyebabkan penganjur terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM300,000 setelah membuat pembayaran termasuk kepada artis, sewa stadium dan sistem bunyi walaupun sudah membuat rayuan untuk memohon permit konsert pada 10 Julai 2008. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram