DUA maut manakala dua lagi cedera dalam satu kejadian letupan gas di sebuah kilang di Puchong Utama, dekat Puchong, Selangor pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.14 pagi melibatkan kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong Utama.
Menurutnya, seramai 24 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua beranak tersepit terpaksa tahan sakit lepas kereta bertembung lori 5 tan di Sepang
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 3 jam hilang, abang temui mayat Nurul Farisya lemas di sungai Kuala Krai
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati letupan tersebut melibatkan gas acetylene di sebuah kilang berkeluasan 2.78x5.57 meter persegi.
"Terdapat empat orang mangsa yang terlibat. Dua orang disahkan maut dan dua lagi cedera.
"Kerja-kerja ventilation sedang dilakukan untuk mengeluarkan gas yang masih berada di dalam kilang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, pihaknya menjangka akan mengambil masa beberapa jam bagi melakukan siasatan serta membawa keluar mayat.
“Keadaan mayat mangsa tidak sempurna dan disebabkan itu kita perlu masa untuk selesaikan siasatan di lokasi dan bawa keluar mayat.
“Dua lagi mangsa yang cedera pula diberikan bantuan pernafasan serta rawatan awal di lokasi,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, salah seorang mangsa yang cedera dipercayai pemilik premis berkenaan yang telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
"Terdapat 45 tong gas ditemui di dalam premis itu yang diperiksa oleh pihak bomba
“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapat tiada tong gas yang bocor dalam 45 tong berkenaan.
“Dari segi keselamatan, premis itu dan kawasan sekelilingnya adalah selamat.
"Malah, premis terletak berhampiran lokasi kejadian dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar dilaporkan berkata, dua individu yang maut dalam kejadian letupan gas tersebut adalah pekerja warga asing.
"Kedua-dua lelaki tersebut berusia 30-an namun belum mengenal pasti warganegara mangsa.
"Siasatan punca kejadian dipercayai akibat satu tong gas acetylene meletup dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram