SELEPAS kecoh di laman X mengenai aktiviti persundalan melibatkan seorang individu dikenali sebagai Hot Daddy Ash, terbaharu timbul satu lagi aktiviti hampir serupa di laman Facebook.
Apa yang mengejutkan ialah aktiviti tersebut menawarkan perkhidmatan menyewa wanita berstatus isteri orang untuk suatu tempoh masa dengan kadar bayaran tertentu.
Tinjauan Majoriti di kedua-dua laman Facebook itu mendapati, group Facebook berkenaan dengan namanya dirahsiakan buat masa ini dianggotai 102,000 dan 20,000 ahli setakat ini.
Pada masa sama, pentadbir laman Facebook itu turut menyediakan aplikasi Telegram bagi pengguna yang ingin mendapatkan khidmat tawaran seks atau bertukar-tukar pasangan dengan bini orang terbabit.
"Untuk yang terabai sahaja, happy-happy, noty-noty," tulis pentadbir laman media sosial tersebut.
Dalam aplikasi Telegram tersebut, rata-rata kandungan ialah foto-foto wanita berpakaian seksi dan membuat aksi ghairah demi mendapatkan pelanggan.
Mereka juga dikesan memuat naik butiran (description) fizikal untuk menggambarkan diri masing-masing.
BACA LAGI : Ramai lagi seperti gigolo Janda Baik, pelajar wanita IPTA turut didakwa cari makan di platform X
'Hot Daddy Ash' atau 'Gigolo Janda Baik' (kiri) merupakan suspek utama dalam jenayah seksual. — Instagram/BGTV
Kewujudan laman Facebook dan Telegram berkenaan sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang di bawah umur sehinggakan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
"Mohon pihak berkuasa dan yang berkaitan mengambil tindakan segera. Ini adalah punca keruntuhan akhlak dalam kalangan kita semua. Minta jauh perangai seperti ini," kata Syaiful Muhammad.
"Makin teruk manusia akhir zaman," tulis Shukran Jalal pula.
Sementara itu, Amirul Azhar mendakwa aktiviti seperti itu sudah lama berlaku cumanya pada kali ini individu yang terlibat dalam aktiviti seperti itu menjadi semakin berani.
"Sudah lama jadi, cumanya sekarang mereka yang suka bertukar-tukar pasangan ini semakin menjadi. Semakin lama semakin rancak," katanya.
Setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Majoriti sedang cuba menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram