MUTAKHIR ini, kita sering disajikan dengan program audio siar (podcast) dan rancangan televisyen yang menjemput sesetengah individu yang agak kontroversi.
Program seperti ini menjadi satu cabaran kepada ibu bapa dan pihak kerajaan untuk mengekang program yang dianggap tidak sensitif dan merosakkan akhlak penonton terutama remaja.
Dalam erti kata lain, audio siar atau rancangan televisyen seperti itu seperti menggalakkan gaya hidup yang tidak bermoral.
Baru-baru ini, pempengaruh dan YouTuber, Bros Gang TV (BGTV) didakwa menjemput seorang lelaki yang dituduh terlibat bagi kes pensundalan program audio siar mereka menerima kecaman warga maya.
Lelaki yang dikenali sebagai Hot Daddy Ash atau Gigolo Janda Baik dalam kalangan warga maya itu merupakan suspek utama dalam jenayah seksual.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan polis pada 19 Januari lalu selepas kegiatannya merakam dan menjual puluhan klip video aksi lucahnya bersama lebih 20 wanita, termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat seks dibongkar.
Bukan itu sahaja, tindakan pempengaruh menjadikan suspek sebagai tetamu jemputan yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut turut menjadi persoalan kerana bagaimana seorang yang terlibat dalam aktiviti persundalan dijadikan idola.
Terbaharu, timbul satu lagi aktiviti hampir serupa di laman Facebook yang seakan-akan sama seperti Hot Daddy Ash.
Apa yang mengejutkan ialah aktiviti tersebut menawarkan perkhidmatan menyewa wanita berstatus isteri orang untuk satu tempoh masa pada kadar bayaran tertentu.
Kenapa orang layan Hotdaddy like he contributed something to the country ☹️ murung! pic.twitter.com/WPVdlXfuF2
— Anaz. iDevice Repair (@annazrulan) February 10, 2024
Tinjauan Majoriti di kedua-dua laman Facebook itu, masing-masing mempunyai 102,000 dan 20,000 ahli setakat ini.
Pada masa sama, pentadbir laman Facebook itu turut menyediakan aplikasi Telegram bagi pengguna yang ingin mendapatkan khidmat tawaran seks atau bertukar-tukar pasangan dengan isteri orang terbabit.
Sehubungan itu, ramai yang berharap agar kerajaan membuat satu akta atau undang-undang bagi menyekat rancangan atau individu tertentu daripada membuat siaran secara langsung di mana-mana platform media sosial.
Hal ini kerana, ada sesetengah warga maya yang mendakwa aktiviti tersebut semakin meningkat selepas individu seperti Hot Daddy Ash 'bebas' bersiaran secara langsung dan menghadiri program atau dijemput sebagai tetamu jemputan di platform media sosial secara bersahaja.
BACA LAGI: Ramai lagi seperti gigolo Janda Baik, pelajar wanita IPTA turut didakwa cari makan di platform X
Peguam, Tun Laila Tun Rafaee.
Mengulas mengenai isu tersebut, seorang peguam terkenal, Tun Laila Tun Rafaee menjelaskan, sebagai seorang yang berada dalam jaminan, Hot Daddy Ash sebenarnya berhak untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa.
"Haruslah diingatkan, sebenarnya individu tersebut (Hot Daddy Ash) ini bukanlah bebas tetapi diikat jamin sementara mahkamah menetapkan semula kes pada 12 dan 26 Mac depan.
"Dia bukanlah bebas sepenuhnya dan dia berhak menjalani kehidupan seperti manusia biasa dalam situasi ini, kita merujuk kepada hak asasi manusia," katanya kepada Majoriti.
Tambah peguam lulusan Sarjana Muda Undang-Undang UiTM Shah Alam, Selangor itu lagi, sekiranya perlu, mungkin mahkamah mengeluarkan syarat-syarat tambahan individu seperti tertuduh untuk tidak bersiaran secara langsung atau muncul di mana-mana media atau media sosial.
"Ia wajar dilakukan tetapi terpulang kepada hakim yang membuat keputusan tersebut, pada masa sama tindakan itu boleh mengekang individu berkenaan daripada muncul di mana-mana media atau media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat.
"Selain daripada syarat, kerajaan terutamanya pihak Kementerian Komunikasi boleh mengeluarkan satu panduan untuk mengawal bentuk seperti ini," ujarnya.
Tegasnya lagi, Malaysia sedang menuju ke arah teknologi digital yang semakin berkembang dan apa-apa yang berkaitan dengan platform media sosial ketika ini memang perlu dikawal.
"Namun ia terpulang kepada ahli Parlimen untuk membuat keputusan menggubal undang-undang bagi mengekang isu tersebut terutamanya melibatkan media sosial.
"Tapi untuk menggubal undang-undang ini bukanlah mudah dan lazimnya ia mengambil masa yang lama. Bagi saya pada ketika ini cukuplah membuat syarat dan panduan terlebih dahulu," tegasnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah tunjuk aurat ketika 'live', remaja pengsan dikerjakan bapa
Peguam, Muhammad Akmal Arif Shamsul
Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar melihat isu tersebut bukan sahaja bersifat preventive measures (langkah menghalang) bahkan ia lebih kepada punitive measures (langkah menghukum).
"Bagaimanapun, saya merasakan ia masih lagi menampakkan kelemahan ahli Parlimen dalam menangani isu dan perihal kemasyarakatan kerana tugas mereka adalah untuk menggubal undang-undang.
Ditanya adakah pihak kerajaan perlu menggubal satu undang-undang atau akta bagi menyekat individu tersebut bersiaran di mana-mana platform media sosial, beliau menjelaskan, sebenarnya pihak kerajaan boleh menggubal polisi dan ia bersifat superior daripada Penggubalan Undang-Undang.
"Namun, cadangan saya ia mesti selari dengan Penggubalan Undang-Undang itu sendiri.
"Jika dilihat dalam konteks yang dinyatakan, perkara ini akan menjadi barah dalam masyarakat. Sebagai rakyat, kita perlu menekan pihak berkuasa dan wakil rakyat Parlimen kita untuk menyuarakan hal-hal sebegini untuk dijadikan sebagai kayu ukur perlindungan.
"Cadangan saya apabila melihat kebanyakan akta perundangan di Malaysia ia seakan-akan obselete (lapuk) dan tidak relevan kerana tidak mengikut arus semasa.
"Misalnya, Akta Hasutan, mengapa hanya perlu difokuskan kepada isu perkauman, penentangan kepada raja-raja mahupun keagamaan? Mengapa ia tidak digubal atau ditambah baik supaya ia bersifat lebih konklusif dan menyeluruh untuk mengikut jenis penyelesaian masalah semasa?" jelas Muhammad Akmal yang berpengalaman sembilan tahun sebagai peguam.
Beliau berpandangan, jika dilihat pada akta sedia ada, masih banyak lagi perundangan yang boleh diperbaiki bagi membendung gejala-gejala yang kurang cerdik dan merosakkan masyarakat dengan idealogi yang tidak bermanfaat ini.
Peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut menyarankan supaya diwujudkan akta baharu kerana belum ada akta untuk menyekat isu tersebut dan begitu juga dalam konteks perundangan Islam, ia masih bersifat kenegerian yang perlu ditambah baik dari segi pelaksanaannya.
Tambah beliau, pelaksanaan sesuatu perkara mestilah bersifat praktikal dan konklusif.
"Hal ini kerana supaya ia dapat mengawal selia masyarakat pada hari ini yang seringkali dijajah dengan anasir-anasir kurang cerdik dan bersifat toksik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram