POLIS menafikan insiden pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang dekat Kuching, Sarawak melibatkan sekumpulan kongsi gelap tetapi sebaliknya pergaduhan antara adik-beradik yang ditemani rakan masing-masing.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 10.06 malam Khamis.
"Pengadu berumur pertengahan 30-an, menyatakan bahawa insiden dalam video tersebut pergaduhan di antara adik-beradik yang disertai oleh rakan masing-masing di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang.
"Pengadu hanya mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh semasa melarikan diri dan dirawat sebagai pesakit luar di perubatan swasta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI : [VIDEO] Keadaan mayat insiden letupan gas ‘acetylene’ di Puchong tidak sempurna
BACA LAGI : [VIDEO] Kes maut dipukul, diikat orang awam, polis sahkan mangsa positif dadah
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang mana jika sabit kesalahan membawa kepada hukuman pemenjaraan selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, beberapa suspek telah dikenal pasti dan satu operasi iaitu Op Cantas telah dilakukan untuk menangkap kesemua suspek yang terlibat.
Sehubungan itu, Abang Zainal mengingatkan orang ramai agar melaporkan sebarang perbuatan jenayah yang berlaku di depan mata supaya tindakan siasatan dapat dijalankan segera berbanding menularkan sesuatu insiden tersebut ke dalam media sosial.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini dialu-alukan untuk tampil bagi membantu siasatan," ujarnya.
Terdahulu, polis mengesan satu hantaran video yang telah dimuat naik oleh seorang pengguna akaun Facebook yang memaparkan dua rakaman video.
Dalam video pertama menunjukkan sebuah kenderaan dipandu laju manakala video kedua seakan-akan insiden pergaduhan beberapa orang individu yang dilihat dari jarak jauh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram