JIKA disebut sahaja tentang pasangan kembar aneh bernama Sabina dan Ursula Eriksson, sudah pasti ada yang tahu kisah misteri mengenai mereka.
Manakan tidak, kedua-dua kembar itu bertindak aneh selepas bertemu antara satu sama lain sekali gus menjadi berita utama seluruh media pada 2008.
Memetik laporan media antarabangsa, pasangan kembar dari Sweden itu tinggal berasingan yang mana Ursula berada di Amerika Syarikat manakala Sabina yang berkahwin menetap di Ireland bersama pasangan dan dua anaknya.
Adik lelaki mereka yang tidak didedahkan namanya dilaporkan berkata, Ursula dan Sabina seolah-olah melarikan diri dari sesuatu namun tidak pernah menunjukkan sebarang kelakuan pelik sehinggalah mereka bertemu kembali.
Pada Mei 2008, Ursula ke rumah adiknya di Mallow, Country Cork, Ireland sebelum mereka berdua menuju ke Liverpool, England secara senyap-senyap dengan Sabina meninggalkan suami dan anak-anaknya. Tidak diketahui sehingga hari ini mengapakah adik-beradik itu berbuat demikian.
Ursula dan Sabina Eriksson ketika kecil.— Agensi
Setibanya Ursula dan Sabina di sana, mereka ke balai polis tempatan untuk melaporkan kebimbangan terhadap anak Sabina yang ditinggalkan di Ireland. Polis Liverpool difahamkan oleh Polis Dublin bahawa Sabina ada bertengkar dengan suaminya.
Setelah dipastikan anaknya berada dalam keadaan baik, pasangan kembar itu kemudiannya menaiki bas untuk ke London.
Sepanjang perjalanan, pemandu dan beberapa orang penumpang menyaksikan Ursula dan Sabina berkelakuan pelik dan hal itu agak membimbangkan mereka.
Salah seorang penumpang mencadangkan agar pemandu memberhentikan bas di sebuah stesen. Oleh kerana risau akan kelakuan aneh pasangan kembar tersebut yang digambarkan seperti ‘tidak sihat’, pemandu bas melarang mereka naik dan meninggalkan dua beradik tersebut di stesen itu.
Kelakuan aneh Ursula dan Sabina juga disedari oleh pengurus stesen yang kemudiannya bertindak menghubungi polis. Apabila polis tiba di lokasi dan menyoal pasangan kembar itu, polis mendapati mereka tidaklah berbahaya sebelum berlalu pergi dari situ.
Ursula dan Sabina memutuskan untuk berjalan di sepanjang lebuh raya paling sibuk di England sebelum mereka berdua terus berlari ke arah jalan hingga mengakibatkan lalu lintas terganggu.
Malah Sabina turut dilanggar sebuah kereta dalam insiden terbabit.
BACA LAGI : [VIDEO] Bukan pandu melulu tapi masalah brek punca 'King' hilang kawalan sampai terbalik di Keningau
Tindakan mereka juga dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya serta kamera polis peronda.
Walaupun dirempuh beberapa kenderaan di lebuh raya tersebut, mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
Pada waktu kejadian, pasukan peronda dan polis bercakap dengan kembar tersebut sebelum Ursula sekali lagi berlari masuk ke tengah jalan lalu dilanggar oleh sebuah trak yang membawa muatan 40 tan menyebabkan kakinya cedera parah akibat digilis.
Melihat situasi itu, Sabina juga seolah-olah berjangkit histeria yang mana dia meluru ke tengah jalan sebelum sebuah kereta yang sedang bergerak laju terus melanggarnya sehingga dia terpelanting ke udara dan jatuh di tengah jalan.
Kesemua kejadian ini dapat dirakam oleh kamera rancangan Real Stories of The Highway Patrol - Motorway Cops versi England.
Difahamkan, dalam keadaan mengalami kecederaan yang teruk, Ursula seperti dirasuk apabila dia menjerit, memaki hamun polis malah meludah dan mendengus dengan mengatakan bahawa mereka hanyalah khayalan.
Sabina juga berkelakuan aneh dan agresif apabila dia bertindak menumbuk seorang polis bertugas sebelum berlari ke arah laluan bertentangan.
Kedua-duanya berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.
Ujian toksikologi yang dijalankan ke atas Ursula mendapati tiada sebarang dadah atau alkohol dalam badannya namun ujian sama tidak dilakukan ke atas Sabina kerana tingkah lakunya normal semasa di hospital.
Wajah Sabina ketika berada dalam tahanan polis pada 2008. — Agensi
Selepas diperiksa oleh pakar, Sabina dianggap tidak menghadapi sebarang penyakit mental dan dibebaskan selepas dihukum penjara selama satu hari atas pengakuan salah menumbuk seorang pegawai polis.
Namun kisah aneh pasangan kembar itu tidak berakhir di situ, Sabina sekali lagi berkelakuan aneh yang mana dia telah menikam seorang lelaki yang cuba membantunya sebaik keluar dari hospital.
Lelaki terbabit, Glenn Hollinshead, yang menawarkan tempat berteduh di rumahnya cedera ditikam oleh Sabina pada keesokan hari.
Malah selepas kejadian itu, Sabina yang cuba melarikan diri daripada polis terjun dari sebuah jambatan berketinggian 40 kaki menyebabkan tengkoraknya retak dan kedua-dua buku lalinya patah.
Sekali lagi dia dikejarkan ke hospital sebelum dibebaskan pada September 2008 dan didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh, manakala kembarnya, Ursula dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Sweden.
Sabina mengaku bersalah dan semasa prosiding berlangsung, pihak pembelaan mendakwa dia menghidap sindrom folie a deux (penyakit psikiatri ganjil yang mana dua individu mengalami gangguan psikotik yang sama, secara bersama).
Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan dia menjalani kehidupan di sebalik tirai besi selama 439 hari sebelum dibebaskan pada 2011. Sabina menghilangkan diri sejak itu dan keberadaannya tidak pernah diketahui sehingga hari ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram