[VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit


  • Massa
  • Isnin, 26 Feb 2024

Penganjur konsert berkenaan yang dikenali sebagai Faris Azrii tampil memohon maaf kepada orang ramai berhubung kejadian tersebut.

PENGANJURAN konsert ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah baru-baru ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan warga maya.

Apa tidaknya, konsert yang menampilkan penyanyi terkenal tanah air seperti Hazama, Akim dan Yonnyboii itu berlangsung pada malam Nisfu Syaaban.

Dalam kekecohan itu, penganjur konsert berkenaan yang dikenali sebagai Faris Azrii tampil memohon maaf kepada orang ramai menerusi rakaman video di TikToknya.

Faris yang mesra dengan panggilan Choii dan juga bekas freestyler mengakui kesilapan adalah terletak pada pihaknya yang terlepas pandang akan perkara tersebut.

“Apa yang berlaku ini memang tidak melibatkan mana-mana badan kerajaan dan memang salah pihak kami. Saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah.

"Tentang isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf kerana saya membawa hip-hop ke bumi Kedah tapi ini kejadian pada hari Jumaat bukan Sabtu. Tapi kita juga adakan konsert dan itu kesalahan di pihak kami juga,” katanya.

BACA LAGI: Simpan resit, dokumen di Google Drive mudahkan pembayar buat e-Filing LHDN

BACA LAGI : Nenek pelik tengok cucu aktif semacam, rupanya ibu bancuh susu bayi guna cecair syabu

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbirannya memberi permit atau kelulusan untuk mengadakan konsert pada malam Nisfu Syaaban itu.

Menurutnya, permohonan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri tidak menyatakan tentang cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu.

"Penganjur mohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri sahaja dan permohonan tersebut yang diluluskan.

“Penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur.

“Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan perkara ini dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mansor berkata, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitam daripada terbabit dalam apa jua program di Kedah pada masa akan datang.

Menjengah ke ruangan komen pula, segelintir warga maya berpandangan, penganjuran acara di Kedah itu sebenarnya sedikt sebanyak dapat membantu menaikkan perniagaan anak-anak muda khususnya dari negeri berkenaan.

Rata-rata netizen pula dilihat cuba membandingkan antara penganjuran ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ dengan konsert penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran.

Meskipun mendapat tentangan daripada ramai pemimpin agama, konsert yang berlangsung Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap berjalan seperti dijadualkan dengan begitu meriah.

"Insiden di Kedah membuktikan parti politik berkenaan terlalu sibuk menjaga tepi kain Ed Sheeran sampai tak sedar kain sendiri terkoyak," tulis Tokaisan My.

"Jadi apa bezanya konsert di Kedah dengan dekat SNBJ itu? Mungkin sahaja harinya tidak kena, tetapi tidak perlu sampai membatalkan konsert serta-merta. Kasihan anak-anak muda yang berniaga, nak cari duit," kata SamiraZainee.

"Konsert Ed Sheeran elok sahaja berjalan tiada siapa tampil minta maaf?" soal Aizat Hafizzul Faiz.

"Saja nak burukkan negeri Kedah, benda dah lama rancang, sebelum ini pun pernah terjadi dulu," ujar Sang Bogol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram