SIAR: Hilang satu sinar, penyanyi mirip P Ramlee, Fairuz Misran pergi buat selamanya


  • Hiburan
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Fairuz Misran dilaporkan meninggal dunia pada usia 38 tahun di Hospital Licious Labuan.

MEMPUNYAI rupa paras mirip dengan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, penyanyi Fairuz Misran meninggal dunia pada Jumaat.

Khabar duka itu disahkan oleh abangnya, Ruzaidi Misran menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.

"Innalillahiwainnahirojiun... Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi Fairuz Misran kembali ke Rahmatullah sebentar tadi (Jumaat)," tulisnya.

Pada masa yang sama, abangnya memohon doa orang ramai buat adiknya yang pergi selamanya.

"Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," tambahnya lagi.

Sementara itu, adiknya, Sazlieyanti menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pihak hospital memaklumkan kepada dia dan keluarganya bahawa abangnya sudah meninggal dunia sebaik menerima rawatan di hospital.

"Ramai yang bertanya mengenai penyebab arwah meninggal dunia. Alhamdulillah arwah pergi dengan senang. Hanya sakit dada dan pengsan sebelum dibawa ke hospital. Setibanya di hospital, kami dimaklumkan arwah sudah tiada.

Sazlieyanti berkata, jenazah akan dikebumikan sama ada di kampung isterinya di Labuan atau di Kimanis, Papar iaitu kampung Allahyarham.

"Terima kasih juga untuk semua yang tidak berhenti mendoakan beliau dan sedekahkan al-Fatihah," katanya.

Terdahulu, Fairuz yang juga Juara Bintang P Ramlee 2012 dilaporkan meninggal dunia pada usia 38 tahun di Hospital Licious Labuan pada pukul 1.30 petang, Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram