'Raffi kata nak masuk parti politik,' PM Anwar usik pempengaruh terkenal Indonesia


  • Primer
  • Selasa, 05 Sep 2023

Program Temu Anwar julung kalinya diadakan di Jakarta, Indonesia pada Selasa.

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh menyatakan pempengaruh terkenal dari seberang, Raffi Ahmad berhasrat untuk menyertai parti politik.

Gurauan yang mendapat sorakan seluruh dewan itu dibuat ketika program Temu Anwar yang julung kalinya diadakan di Jakarta, Indonesia pada Selasa.

"Dia kata Raffi nak masuk Parti Gerindra,” kata Anwar sambil tersenyum.

Raffi yang pada awalnya terkejut dengan kata-kata itu menjelaskan bahawa ia hanyalah sekadar gurauan.

"Ah, bergurau saja," katanya.

Program yang berlangsung di Hotel Redtop & Convention, Jakarta itu dikendalikan oleh penyanyi Dewa 19, Ahmad Dhani bersama Raffi dan isterinya, Nagita Slavina.

Dalam masa sama, Ahmad Dhani juga secara berseloroh menyatakan Anwar turut bersetuju untuk menghadiri konsert orkestra Indonesia bersama kumpulan dari Malaysia pada masa akan datang.

"Kita sokong program sosialisasi untuk mendekatkan muzik Indonesia dan Malaysia," ujarnya.

Untuk makluman, Temu Anwar merupakan sebuah program dialog perdana menteri bersama dengan anak muda.

Program tersebut diadakan dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang akan berlangsung di Jakarta dari 5 hingga 7 September.

Temu Anwar diadakan khusus bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama anak muda untuk mengutarakan soalan secara langsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram