PENYANYI rap kumpulan 50 Cent mencetuskan isu hangat apabila dilaporkan membaling mikrofon ke arah peminatnya ketika mengadakan konsert di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Difahamkan, insiden itu tercetus selepas mikrofonnya gagal berfungsi dengan baik ketika menyampaikan nyanyian di pentas.
Bengang dengan situasi tersebut, dia kemudiannya melempar peranti itu ke arah penonton yang sekali gus terkena tepat pada seorang wanita.
Tidak lama kemudian, kru bertugas tampil memberikan mikrofon yang baharu namun ia juga difahamkan rosak dan sekali lagi dibaling oleh penyanyi rap berkenaan.
Mangsa wanita itu mengalami pendarahan di bahagian kepala dan luka teruk akibat balingan tersebut.
"Saya hanya ingin mereka memeriksa otak saya, adakah kesihatan saya semuanya dalam keadaan baik.
"Saya cuma ingin pastikan tiada apa-apa yang berdarah," katanya.
Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kepalanya. — Agensi
Dalam pada itu, peguam Scott Leemon tampil mempertahankan penyanyi rap tersebut dengan dakwaan mengatakan ia kejadian yang tidak disengajakan.
"Seperti yang saya maklumkan kepada pihak polis, anak guam saya tidak sengaja memukul dan mencederakan sesiapa dengan mikrofon.
"Mereka yang membuat tuduhan itu tidak menyatakan fakta dan semua maklumat diberikan adalah salah," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram