Kugiran Masdo gemar guna lirik puitis, rujuk DBP


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Sep 2023

Gandingan meletup Kugiran Masdo bersama Aisyah Aziz untuk lagu terbaharu mereka berjudul Pujaanku.

BUKAN sekadar menyanyi kosong, hasil repertoir Kugiran Masdo sememangnya menarik minat golongan muda menerusi penggunaan bahasa Melayu klasik dan lirik yang puitis dalam setiap karya.

Malah, pemain bass Kugiran Masdo, Putu Ceri juga tidak menyangka bahawa setiap lagu Kugiran Masdo mendapat sambutan hangat terutamanya golongan muda.

"Mula-mula kita memang mengambil masa juga untuk lihat kesesuaian lagu ini dan syukur ia diterima baik.

"Mungkin mereka rasa tertarik dengan perkataan yang tidak pernah digunakan selalu.

"Salah satunya perkataan termangu yang bermaksud termenung memang jarang digunakan membuatkan saya sendiri berfikir dan mencari maksudnya," jelas Ceri yang mengakui ia suatu kelainan yang dapat diketengahkan.

Vokalis utama Kugiran Masdo, Ali Sariah pula tanpa berselindung mengakui gemar menggunakan bahasa yang puitis dalam setiap lagu yang dihasilkannya.

"Saya suka bermain dengan kosa kata dan banyak juga rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Selalunya, saya banyak dengar kosa kata dari lagu-lagu Indonesia yang bagus, oleh itu saya selalu juga rujuk kamus," katanya.

Bukan itu sahaja, setiap elemen yang dimasukkan dalam setiap lagu akan diubahsuai Kugiran Masdo mengikut cita rasa para pendengar.

"Kita bukan ambil sebijik elemen klasik yang lama, tetapi kami akan masukkan elemen moden untuk beri wajah baharu kepada pendengar," tambah Ali lagi.

Lebih istimewa lagi apabila lagu baharu, Pujaanku yang menampilkan gandingan bersama seorang penyanyi solo wanita, Aisyah Aziz kini semakin diterima hingga ke peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram