[VIDEO] Jangan sembang sunah poligami kalau baca Al-Fatihah pun merangkak lagi


  • Massa
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Para suami seharusnya mengetahui hukum berpoligami terlebih dahulu sebelum bercita-cita hendak berkahwin lain. — Gambar Hiasan

SANA-sini kecoh orang bercakap tentang poligami. Isu yang dilihat cukup sensitif buat para wanita terutamanya yang bergelar isteri itu sedang menjadi perbualan hangat di laman sosial ketika ini.

Ia susulan tindakan seorang pempengaruh media sosial, Muhammad Khaliltizam Yusry yang memuat naik video memaparkan babak dia bersama isteri pertama, Nurmajdina Jamari pertama sedang solat Subuh dan menangis tiga jam sebelum berpoligami.

Perkongsian itu nyata mengundang kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan konten yang disampaikan menerusi klip video berdurasi seminit tiga saat itu.

Malah, lebih mendatangkan kemarahan warga maya adalah pendedahan influencer yang lebih dikenali sebagai Abang Tesla itu bahawa pernikahannya dengan isteri kedua, Nursyafiqa Mohd Hanafi berlangsung hanya selepas beberapa bulan perkenalan.

Lelaki itu turut memberitahu, dirinya berkenalan dengan wanita berusia 22 tahun tersebut melalui platform media sosial.

Kisahnya juga mendapat perhatian individu berpengaruh lain termasuk pendakwah bebas, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee; penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus; penyanyi rap, Caprice serta pelawak dan pelakon, Achey yang turut tampil membahaskan mengenai isu tersebut.

Sementara itu, menerusi satu video yang dimuat naik di laman TikTok Ustaz Kembar baru-baru ini, dua orang pendakwah berkenaan menerangkan tentang hukum-hukum dalam berpoligami.

Menurut mereka, para suami seharusnya mengetahui hukum berpoligami terlebih dahulu sebelum bercita-cita hendak berkahwin lain.

"Makruh hukumnya jika si suami itu nak berpoligami dengan sebab ingin memuaskan nafsunya semata-mata atau suami ragu-ragu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya dari sudut nafkah zahir dan juga batin.

"Sunat hukumnya berpoligami jika si suami inginkan zuriat tetapi isterinya tidak mampu. (Sementara di pihaknya) dia mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya dari segi nafkah zahir dan batin.

"Ataupun si suami mempunyai keinginan nafsu yang kuat dan isteri tidak mampu untuk melayani nafsunya itu," katanya menerusi video tersebut.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 6.08.15 PM

Perkongsian Abang Tesla mengenai perkahwinan keduanya nyata mengundang kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan bentuk konten yang disampaikan.

Dalam pada itu, mereka turut menjelaskan, haram hukumnya berpoligami jika si suami yakin dia tidak mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Tambahnya, ia juga boleh jatuh hukum haram sekiranya suami tidak mampu untuk memenuhi nafkah zahir dan batin kedua-dua isterinya.

"Keadaan ini akan menjadi perkara yang mudarat bagi dirinya dan juga isteri-isterinya, jadi perkahwinan ini adalah haram.

"Bagi lelaki di luar sana yang menyimpan hasrat untuk berpoligami, anda seharusnya mengukur baju di badan sendiri.

"Kalau baca surah Al-Fatihah pun tak betul lagi, tak payah ceritalah pasal sunah poligami ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram